Warga emas dilapor hilang dijumpai mati dalam parit

0
MATI: Nagulan bersama ahli keluarga si mati melihat keadaan mayat Ling yang terbujur kaku di dalam parit di Miri semalam.

MATI: Nagulan bersama ahli keluarga si mati melihat keadaan mayat Ling yang terbujur kaku di dalam parit di Miri semalam.

MIRI: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak pagi kelmarin dijumpai mati di dalam sebuah parit di tepi Jalan Temenggung Oyong Lawai Jau berhampiran simpang RTM di sini.

Mayat lelaki dikenali Ling Siew Luang, 85, itu dijumpai sekumpulan pelajar sekitar jam 1.30 petang semalam.

Ketika dijumpai, mayat terbabit masih lengkap berpakaian baju kemeja petak dan berseluar panjang hitam berada dalam keadaan terlentang dan sedikit mengiring ke kiri serta terdapat kesan calar di bahagian dagu, lengan dan kakinya dipercayai akibat terkena pada bahagian tepi parit konkrit terbabit.

Menurut sumber, sekumpulan pelajar dalam perjalanan pulang dari sekolah melalui jalan berhampiran ternampak seseorang berbaring di dalam parit.

Mereka terus memaklumkan perkara itu kepada orang awam.

Pada awalnya mereka menyangka lelaki terbabit tidur namun setelah diamati mendapati sudah tidak bernyawa.

Berikutan itu, mereka terus menghubungi polis memaklumkan penemuan mayat itu.

Sepasukan anggota polis diketuai Ketua Balai Polis Pusat Miri ASP Nagulan Maniam bergegas ke tempat kejadian.

Pada masa sama, polis turut menghubungi anak si mati memaklumkan penemuan mayat tersebut.

Menurut Nagulan, si mati dilaporkan keluar rumah sejak jam 7 pagi, pada 31 Ogos lalu dan sehingga petang tidak pulang ke rumah keluarganya di Luak Bay di sini.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat oleh ahli keluarganya di Balai Polis Pusat Miri kelmarin.

Si mati dipercayai meninggal dunia awal pagi semalam berikutan keadaan mayatnya yang sudah keras.

Polis tidak menolak kemungkinan si mati sudah nyanyuk pergi ke arah parit untuk kencing atau berak namun tergelincir dan terhantuk pada konkrit itu.

Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat si mati kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.