Guru ditemui semula

1

Pemandu bas cam muka mangsa ketika hendak menaiki bas di Kuching Sentral

Oleh Jeremy Lanson //

SIASAT: Guru (dua kiri) terbabit bersama saudaranya dibawa ke Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching semalam untuk siasatan.

SIASAT: Guru (dua kiri) terbabit bersama saudaranya dibawa ke Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching semalam untuk siasatan.

KUCHING: Seorang guru wanita yang dilaporkan hilang oleh keluarganya di Sibu minggu lepas kini di bawah jagaan polis selepas dijumpai semula ketika hendak menaiki bas di Kuching Sentral di sini, semalam.

Menurut sumber, guru berusia 24 tahun yang mengajar di sebuah sekolah di Tatau itu pada mulanya dilihat oleh seorang pemandu bas yang kemudian menghubungi pihak polis sekitar jam 11.30 pagi.

“Dia ketika itu baharu hendak menaiki sebuah bas di terminal Kuching Sentral apabila pemandu bas berkenaan berjaya mengecam mukanya berdasarkan poster yang dilekat di terminal tersebut.

“Pemandu bas tersebut mengarahkan dia turun dan terus menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” kata sumber.

Guru terbabit yang kelihatan murung kemudian ditemani seorang wanita lain dipercayai saudaranya dan dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.

Minggu lepas, guru yang dikenali sebagai Ling itu pulang ke Sibu untuk menziarahi bapa saudaranya yang sakit serta ahli keluarganya yang baharu kembali dari Singapura.

Bagaimanapun, Ling yang sepatutnya menaiki bas pada jam 8 malam, 23 Ogos gagal mendapatkan tiket sebelum menghubungi keluarganya untuk memaklumkan bahawa dia akan bertolak pada jam 11 malam ke Tatau.

Keesokannya, pihak sekolah mendapati Ling tidak melaporkan diri dan terus menghubungi keluarganya yang kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian.

Bertindak atas laporan tersebut, siasatan awal polis mendapati Ling telah membeli tiket bas ke Kuching dan polis turut berjaya mengesan dua isyarat penggunaaan telefon bimbitnya di Sibu dan kali terakhir di Kuching.

Operasi mencari Ling diperluaskan ke Kuching dan berjaya ditemui semula dalam keadaan selamat semalam.

Siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan.