Pesara TLDM mengaku tidak bersalah salah guna kuasa

0

IPOH: Seorang bekas Lt Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas 14 pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya melantik syarikat milik adiknya menjalankan kerja-kerja pembekalan di pangkalan TLDM Lumut lima tahun lepas.

Wan Fathurahman Wan Musa, 48, dituduh melakukan kesemua kesalahan itu semasa menjadi Pegawai Memerintah Depot Bantuan TLDM di bilik mesyuarat Depot Bantuan TLDM, Pangkalan Lumut, dari 11 Ogos 2011 hingga 12 Nov 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Hakim Rihaida Rafie membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM140,000 (RM10,000 bagi setiap pertuduhan) dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Nov depan sebagai sebutan semula kes.

Wan Fathurahman diwakili peguam Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rozanna Abd Hadi.

Sebelas lagi pertuduhan terhadap Wan Fathurahman adalah kerana didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Lembaga Penganugerahan Sebuthargabagi membolehkan adiknya, Wan Rahmat Marzuki Wan Musa, pemilik Syarikat Delima Evolusi Sdn Bhd membekalkan pelbagai barangan bernilai RM527,113 antara 11 Ogos, 2011 dan 12 Nov 2012.

Ini termasuk bagi membekalkan batang tembaga heksagon bernilai RM99,000, pengilat tayar (RM14,000), pengilat kereta (RM19,000), syampu kereta (RM26,000), Devcon Aluminium (RM51,750), keluli Devcon (RM21,000), ‘Stop Shoulder Yoke’ (RM6,440), 566 unit tali pinggang putih Protela (39,903), jeket bagi cuaca buruk (RM34,450) seluar bagi cuaca buruk (RM24,050) but ahli bomba (RM16,800) dan topi keledar ahli bomba (RM25,800).

Tiga lagi pertuduhan kerana memberikan tender kepada WTY Defcorp Sdn Bhd yang dimiliki Wan Rahmat, bagi kerja-kerja pembekalan bernilai RNM306,219.50 pada 12 Nov, 2012.

Terdahulu, Rozanna menawarkan wang jaminan RM20,000 bagi setiap satu kesalahan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Munawar, yang mewakili tertuduh memohon agar wang jaminan dikurangkan menjadi RM5,000 bagi setiap kesalahan dengan alasan tertuduh akan berangkat ke Mekah pada 14 Sept ini bagi mengerjakan ibadah Haji.

Rihaida kemudiannya menetapkan wang jaminan RM10,000 bagi setiap kesalahan dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport sekembalinya daripada mengerjakan ibadah haji pada 27 Okt 2015. — Bernama