Polis akan panggil Dr M berhubung kenyataannya

0

Dr M dakwa ada ketua bahagian UMNO menerima rasuah

surat penghargaan: Khalid (kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada anggota Polis Marin sempena Peringatan Hari Pasukan Polis Marin Ke-68 di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang, semalam. — Gambar Bernama

surat penghargaan: Khalid (kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada anggota Polis Marin sempena Peringatan Hari Pasukan Polis Marin Ke-68 di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang, semalam. — Gambar Bernama

PELABUHAN KLANG: Polis akan memanggil bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh terdekat berhubung kenyataan yang dibuat di perhimpunan BERSIH 4 hujung minggu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata setiap ucapan negarawan tersebut akan diteliti, termasuk dakwaannya ada ketua bahagian UMNO menerima rasuah.

“Kita panggil (Dr Mahathir) untuk merekodkan keterangan dan menyiasat dari mana beliau peroleh maklumat (mengenai rasuah) yang terkandung dalam ucapannya di perhimpunan berkenaan.

“Selain Tun (Dr Mahathir), polis akan memanggil semua ‘tokoh utama’ yang terlibat dalam perhimpunan haram itu, termasuk Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, untuk beri keterangan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, Khalid menghadiri sambutan Hari Pasukan Polis Marin ke-68 di markas operasi pasukan itu di sini dan menyampaikan surat penghargaan kepada 13 anggota keselamatan laut itu.

Khalid turut berkata penganjur BERSIH 4 perlu bertanggungjawab terhadap sentimen perkauman yang dibangkitkan semasa perhimpunan itu memandangkan polis telah memberi amaran awal supaya tiada tindakan sedemikian dilakukan oleh mana-mana pihak.

Katanya penganjur sebelum ini telah diingatkan akan dikenakan tindakan berlandaskan undang-undang sekiranya terdapat pelanggaran peraturan semasa perhimpunan itu diadakan.

Dalam pada itu, Khalid berkata polis sedang memburu orang yang memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di perhimpunan BERSIH 4.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu-individu yang memijak gambar berkenaan segera salurkan kepada polis supaya kita dapat ambil tindakan tegas terhadap mereka,” katanya.

Baru-baru ini, gambar beberapa individu memijak gambar Najib serta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada perhimpunan haram itu telah tersebar luas menerusi laman sosial.

Khalid berkata perlakuan memijak gambar pemimpin jelas bukan budaya rakyat Malaysia tetapi ia dilihat cuba dijadikan sebagai budaya oleh penganjur dan peserta demonstrasi itu.

Beliau membidas peserta, termasuk beberapa pemimpin politik, yang membawa kanak-kanak menyertai perhimpunan berkenaan.

Katanya mereka boleh diambil tindakan kerana melanggar undang-undang selain membahayakan keselamatan kanak-kanak terbabit. — Bernama