Polis digesa siasat tindakan biadab peserta BERSIH

0

Tindakan memijak gambar pemimpin disifatkan keterlaluan, tidak berakhlak dan tidak bertamadun

LAPOR POLIS: Presiden Pakatan NGO Pro Barisan Nasional (BN) Zulkarnain Mahdar semalam tampil membuat laporan polis              di Balai Polis Karamunsing meminta agar tindakan diambil            terhadap peserta BERSIH 4. — Gambar Bernama

LAPOR POLIS: Presiden Pakatan NGO Pro Barisan Nasional (BN) Zulkarnain Mahdar semalam tampil membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing meminta agar tindakan diambil terhadap peserta BERSIH 4. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO Malaysia, sebuah UMNO bahagian, Dewan Pemuda PAS dan 21 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini, di Terengganu dan Sabah membuat laporan polis terhadap penganjur perhimpunan haram BERSIH 4 berhubung tindakan biadab peserta perhimpunan itu memijak gambar pemimpin negara.

Mereka menyifatkan perbuatan itu sebagai keter-laluan, tidak berakhlak dan  tidak bertamadun dan telah meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak penganjur dan peserta terbabit.

Pemuda UMNO Malaysia yang membuat dua laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, menggesa polis bertindak tegas terhadap peng-anjur perhimpunan haram itu ekoran tindak-tanduk peserta yang memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Pemuda UMNO mendakwa sikap para peserta itu boleh mendatangkan kemarahan rakyat malah boleh membawa kepada ketegangan kaum di negara ini.

Exco Pemuda UMNO Malaysia yang juga Pengerusi Briged Kesatria Muda perge-rakan itu, Armand Azha Abu Hanifah telah meminta polis menyiasat 15 individu yang dinamakan sebagai penganjur perhimpunan haram itu kerana gagal mengawal sikap peserta perhimpunan itu.

Mereka termasuklah bekas Pengerusi BERSIH Datuk S. Ambiga, Pengerusi BERSIH  4 Maria Chin Abdullah, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, pemimpin Gerakan Harapan Baru Mohamad Sabu, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dan penasihat DAP Lim Kit Siang.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu, Armand Azha berkata beliau membuat laporan polis itu setelah melihat gambar-gambar yang memaparkan mengenai insiden itu yang tersebar meluas di media sosial.

Anggota Exco Pemuda UMNO itu turut memohon polis menyiasat mereka di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen dan dan Seksyen 141 kanun sama iaitu perhimpunan menyalahi undang-undang.

Perbuatan keterlaluan beberapa individu yang melakukan aksi memijak gambar perdana menteri dan Abdul Hadi telah dirakamkan semasa perhimpunan itu dan telah viral di media sosial.

Armand Azha menyifatkan perhimpunan BERSIH adalah satu perhimpunan haram yang boleh mencemarkan semangat patriotisme rakyat Malaysia di negara ini, cuba mengganggu-gugat keten-teraman awam dan cuba membatalkan acara sambutan Hari Kebangsaan negara.

“BERSIH telah menyebabkan hubungan kaum di negara ini menjadi retak, menimbulkan ketegangan kaum,” katanya.

Armand Azha berkata dise-babkan BERSIH juga, wujud beberapa individu seperti Alvin Tan yang mengeluarkan kenyataan ingin melakukan perbuatan terkutuk terhadap seorang anak perempuan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau turut meminta agar Malaysia memohon kerja-sama negara luar di mana  Alvin sedang berada supaya menghantar pulang lelaki itu untuk menghadapi tindakan undang-undang di Malaysia kerana mengeluarkan kenya-taan yang mengugut.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii mengutuk kenyataan Maria Chin yang didakwa akan mengadakan BERSIH 5 dengan tujuan untuk menjatuhkan Najib.

“Ini adalah satu ugutan yang amat keras … Maria Chin seolah-seolah tidak menghormati konsep demokrasi dan memilih demonstrasi jalanan sebagai satu jalan penyele-saian.

“Sekiranya mereka masih mahu meneruskan BERSIH 5 nanti, kami juga akan turun memilih jalanan, dan kita akan bertembung dengan mereka,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Senator Datuk Yahaya Mat Ghani berkata tindakan peserta memijak gambar Najib dan Abdul Hadi merupakan perbuatan tidak bertamadun.

Sikap seperti itu merupakan sikap yang tidak bertanggungjawab, biadab dan kurang ajar yang ditunjukkan peserta BERSIH pada perhimpunan itu.

“Bagi saya ia sangat tidak wajar, orang Melayu juga ada perasaan … ia boleh mencetuskan sentimen perkauman.

“Tindakan ini jika dibiarkan boleh menjejaskan keharmonian negara selama ini,” kata-nya ketika ditemui Bernama selepas membuat laporan polis mengenai perkara itu bersama-sama tujuh NGO di Balai Polis Sentul di sini, semalam.

Laporan polis itu dibuat Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah jam 2.24 petang semalam mewakili NGO Sirah Malaysia, Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Majlis Bendahara dan Akhlak Rahsia Cekal (ARC), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS) dan Repomis.

Yahaya berkata satu perhimpunan aman akan diada-kan dalam masa terdekat yang merupakan perhimpunan umat Melayu terbesar yang akan diadakan di Bukit Bintang dan dijangka disertai kira-kira 500,000 penyokong kerajaan.

Di KUALA TERENGGANU, Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu dan 14 NGO turut membuat laporan polis berhubung isu sama.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiu yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Mohd Iskandar Jaafar berkata tindakan biadab dan melampaui batas itu sangat keterlaluan.

Katanya tindakan perserta himpunan itu boleh men-datangkan kemarahan rakyat serta penyokong kedua-dua parti politik baik UMNO dan PAS seterusnya boleh merosakkan perpaduan negara serta menyebabkan ketega-ngan kaum.

“Kita berharap tindakan tegas dikenakan terhadap penganjur himpunan tersebut dan menyiasat 15 individu yang gagal mengawal para peserta tanpa mengira pang-kat dan kedudukan mereka sebagai wakil rakyat atau sebaliknya,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 2 petang semalam.

Antara NGO berkenaan Persatuan Gerakan Belia 4B Terengganu, Kelab Suara Anak Muda Terengganu dan Kelab Sukan dan Rekreasi Terengganu. — Bernama