SPRM, polis, Bank Negara boleh siasat sebarang isu tanpa kelulusan kabinet

0

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Bank Negara boleh menjalankan siasatan terhadap mana-mana isu tanpa kelulusan Kabinet atau Perdana Menteri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low.

Beliau berkata ketiga-tiga badan itu adalah bebas mengikut ketetapan di dalam akta masing-masing yang diluluskan di Parlimen.

“Ketetapan di dalam akta masing-masing membenarkan mereka menjalankan  siasatan tanpa mengira sama ada Perdana Menteri bersetuju atau tidak.

“Penyiasatan dijalankan mereka tidak diarahkan oleh Perdana Menteri atau Kabinet,” katanya kepada soalan diajukan seorang ahli  Parlimen dari Kenya dalam satu sesi pada Persidangan Anti-Rasuah Antarabangsa (IACC) kali ke-16 di sini semalam.

Ahli Parlimen Kenya itu bertanya kepada beliau mengenai siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan sama ada siasatan sedang berjalan.

Low berkata selagi beliau menjadi menteri, beliau akan memastikan kebebasan ketiga-tiga badan itu dilindungi.

Terdahulu beliau membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Country Experience in Dealing with Governance and Corruption’ (Pengalaman Negara Dalam Menguruskan Tadbir Urus dan Rasuah) pada sesi bengkel IACC.

Ditanya mengenai perhimpunan BERSIH 4 pada hujung minggu lepas, Low berkata kerajaan bersikap terbuka terhadap perhimpunan tetapi ia perlu ‘mempunyai tujuan yang betul’.

“Jika anda mahu mengadakan (perhimpunan) untuk menentang rasuah, tiada masalah. Jika ia mengenai ketidakadilan, juga tiada masalah. Tetapi tujuan sebenar BERSIH 4 ialah mereka mahu perdana menteri meletak jawatan dan mereka mahukan kerajaan sementara, dan dalam masa setahun mereka mahukan pilihan raya baharu. Ia adalah Arab Spring mini.

“Ya, anda mungkin berasa marah, tetapi jika anda mahu meruntuhkan kerajaan yang berkuasa, ia berbeza. Sebab itu perhimpunan itu tidak dibenarkan,” katanya sambil menjelaskan waktu dan venue perhimpunan yang dipilih bertembung dengan sambutan Hari Kebangsaan.

Persidangan yang dihadiri kira-kira 1,000 peserta daripada 130 negara itu akan berlangsung tiga hari bermula semalam di Pusat Konvensyen Putrajaya di sini. — Bernama