Sultan Selangor berangkat ke Zoo Negara sempena hari lahir ke-9 pasangan panda

0
LAWATAN: Sultan Sharafuddin (tengah) berkenan melawat panda gergasi Xing Xing pada program Sambutan Hari Lahir ke-9 Xing Xing & Liang Liang serta Perasmian Poskad Zoo Negara di Pusat Konservasi Panda Gergasi Zoo Negara semalam. — Gambar Bernama

LAWATAN: Sultan Sharafuddin (tengah) berkenan melawat panda gergasi Xing Xing pada program Sambutan Hari Lahir ke-9 Xing Xing & Liang Liang serta Perasmian Poskad Zoo Negara di Pusat Konservasi Panda Gergasi Zoo Negara semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam berkenan berangkat ke majlis sambutan Hari Lahir ke-9 Pasangan Panda Gergasi Xing Xing dan Liang Liang di Pusat Konservasi Giant Panda (GPCC) di Zoo Negara.

Sultan Sharafuddin meluangkan masa lebih sejam melihat panda gergasi jantan, Xing Xing dan merasmikan Kek Replika Panda Terbesar di Malaysia hasil usaha 30 kakitangan Jabatan Seni Kulinari dan Gastronomi, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Baginda diiringi Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Ahmat Lana dan Pengarah Zoologi dan Veterinar GPCC Dr Mat Naim Ramli.

Dalam lawatan itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan merasmikan kad postal yang mengandungi lima keping poskad bersetem yang memaparkan imej pasangan panda gergasi itu bersempena sambutan kelahiran kedua-dua panda yang berkongsi tarikh lahir yang sama iaitu pada 23 Ogos 2006.

Kad postal yang pertama kali dikeluarkan oleh Zoo Negara dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad itu menampilkan karya terpilih Panda Master dari China, Liu Jinquan@Jing Quan.

Timbalan Presiden II Unit Setem dan Filateli Pos Niaga, Andrian Lim berkata sebanyak 10,000 set kad postal berukuran 148mm x 105mm dikeluarkan dan dijual pada harga RM9 bagi setiap set.

“Kad postal ini akan dijual bermula hari ini (semalam) bagi pengunjung di Zoo Negara manakala orang ramai boleh mendapatkan kad postal di semua pejabat pos seluruh negara bermula 8 September,” katanya.

Sementara itu, Rosly@Rahmat berkata bersempena sambutan kelahiran pasangan panda gergasi itu hari ini (semalam), pengunjung yang lahir pada tarikh 23 Ogos akan diberi tawaran istimewa memasuki Zoo Negara.

Kanak-kanak yang berusia 12 tahun ke bawah akan diberi tawaran masuk percuma ke Zoo Negara (tidak termasuk GPCC) manakala pengunjung dewasa mendapat tawaran 10 peratus diskaun jika membuat pembelian secara dalam talian (tidak termasuk GPCC).

Liang Liang dan pasangannya Xing Xing, yang sebelum ini dikenali dengan nama Fu Wa dan Feng Yi, tiba di Malaysia dari China pada 24 Mei tahun lepas sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing. — Bernama