Lelaki koma dipukul pesakit mental

0

SIBU: Seorang lelaki koma dan berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai dipukul dengan kayu oleh seorang lelaki yang mengalami gangguan mental di Jalan Foochow malam kelmarin.

Dalam kejadian sekitar jam 7 malam itu, mangsa, 33, tiba-tiba muntah darah selepas pulang ke kediaman di Jalan Meludan sekitar jam 11 malam.

Menurut sumber, mangsa sempat memberitahu ibunya bahawa dia dipukul sebelum dia pengsan di rumah ketika itu.

Cemas melihat keadaan anaknya, ibu mangsa terus memaklumkan kepada abang mangsa yang kemudian menghubungi pihak ambulans untuk menghantar mangsa ke Hospital Sibu.

Bertindak atas maklumat awam, pihak polis telah mendapat pengesahan daripada pihak hospital berhubung insiden tersebut.

Menurut polis, mangsa kini masih tidak sedarkan diri dan menerima rawatan lanjut.

Pihak hospital telah memaklumkan kepada polis bahawa mangsa mengalami kecederaan dalaman di bahagian kepala.

Polis bertindak atas maklumat telah menjalankan siasatan dan usaha menjejaki seorang suspek lelaki terbabit telah dimulakan sejak Rabu.

Akhirnya, polis berjaya mengesan lelaki terbabit selepas suspek berumur 42 tahun yang turut dirawat wad sama selepas terbabit dalam kes pukul yang berasingan di sebuah pusat hiburan di Jalan Pahlawan pada malam yang sama (Selasa).

Hasil siasatan polis, suspek dipercayai mempunyai masalah mental membuat hal dengan orang lain di pusat hiburan menyebabkan dia juga dibelasah.

Suspek dikatakan melarikan diri kemudian dan tidak dapat dipastikan bagaimana suspek dimasuk ke wad sama dengan mangsa.

Difahamkam suspek mengalami kecederaan di beberapa anggota badan dan menerima beberapa jahitan di lutut kirinya.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi ketika dihubungi memberitahu pihaknya telah menerima laporan mengenai kedua-dua kes tersebut.

“Kes di Jalan Foochow akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan manakala kes yang berlaku di dalam pusat hiburan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Polis turut merampas sebatang kayu sepanjang lebih satu meter dipercayai digunakan oleh suspek dalam kes pertama tersebut.