Perpustakaan MPS dilengkapi kemudahan CCTV: Andrew

0

SIBU: Perpustakaan Awam Majlis Perbandaran Sibu (MPS) kini dilengkapi kemudahan kamera litar tertutup (CCTV).

Timbalan Pengerusi MPS Datuk Andrew Wong berkata, sebanyak 15 CCTV telah dipasang di situ yang meliputi seluruh kawasan perpustakaan.

“Ini termasuk di bahagian depan, tepi dan belakang bangunan perpustakaan termasuk di dalamnya. Semuanya dilengkapi dengan CCTV.

“Ia bertujuan untuk langkah berjaga-jaga di mana kami bersedia dalam apa jua keadaan. Ini kerana kegiatan jenayah kini tidak memilih tempat dan ia boleh berlaku di mana-mana tanpa memilih waktu dan masa,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Terdahulu, beliau mengadakan tinjauan ke Perpustakaan Awam MPS di sini yang telah dinaik taraf beberapa fasilitinya demi keselesaan pengguna.

Turut mengiringinya ialah Jurutera MPS Abdul Rahman Taupek dan Ketua Bahagian Perpustakaan Awam MPS Habsah Johor.

Wong turut memberitahu bahawa usaha melengkapi Perpustakaan Awam MPS dengan CCTV adalah di bawah Program Bandar Selamat.

“Kami mahu semuanya selamat tidak kira di mana. Bila ada CCTV, ia akan memudahkan pihak keselamatan melakukan siasatan sekiranya berlaku kegiatan jenayah di sesebuah tempat. Ia sedikit sebanyak dapat membantu,” tegasnya.

Perpustakaan Awam MPS turut menyediakan ruangan khas yang membolehkan orang kurang upaya menggunakan kerusi roda untuk mengunjungi perpustakaan.

“Selain itu, ruangan disimen juga selamat buat orang buta berjalan. Ini boleh dikatakan sebagai mesra pengguna,” jelasnya.

Sementara itu, Wong berkata perpustakaan itu kini mempunyai dua bilik baharu yang berasingan untuk tujuan disewa terletak di belakang dewan perpustakaan di tingkat atas.

Katanya kedua-dua bilik itu mampu memuatkan seramai 30 orang dan dikenakan sewa sebanyak RM30 untuk dua jam.

“Kedua-dua bilik ini sesuai untuk bermesyuarat, bengkel, kursus dan sebagainya namun untuk kelas tuisyen ia dilarang.

“Sesiapa yang berminat boleh membuat tempahan di perpustakaan ini. Ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu menyewanya,” katanya lagi sambil memberitahu bilik itu dilengkapi pendingin hawa serta kerusi dan meja.

Bagi dewan perpustakaan terletak di tingkat atas, tambahnya, ia boleh disewa dengan kadar RM300 untuk satu majlis.