Projek Tanaman Getah Berkelompok di Stabut diyakini mampu capai sasaran

0

SIBURAN: Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) optimis Projek Tanaman Getah Berkelompok di Kampung Stabut mampu mencapai sasaran pendapatan minimum pekebun kecil RM4,000 sebulan.

Penolong Pengarah  (Getah) JPS Wilson Entabang berkata fasa pertama bagi projek berkenaan telah dimulakan pada 2012 melibatkan seramai 119 peserta dengan keluasan 122 hektar.

“Konsep ini ialah satu peserta empat hektar dan untuk fasa pertama projek ini kita telah mula menanam pokok pada 2013 yang mana kini telah berusia satu tahun enam bulan.

“Secara keseluruhannya projek ini diselenggara dengan baik oleh pihak kontraktor bagi tempoh lima tahun setengah dengan kos RM1.6 juta sebelum diserahkan kepada peserta setelah mencapai usia matang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat ringkasnya sempena lawatan kerja Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini semalam.

Sementara itu, Uggah dalam amanat ringkasnya berkata lawatan itu bertujuan memastikan 22,000 hektar getah yang dibangunkan di negeri ini sejak 2012 ditanam dan dijaga dengan baik.

Ia penting untuk memastikan pengeluaran getah negara sebanyak 700,000 tan setahun dapat dikekalkan bagi memenuhi keperluan industri serta mengurangkan import getah yang mencecah 900,000 tan setahun.

“Dengan bantuan RM13,500 bagi setiap satu hektar getah, kerajaan berharap ia dapat membantu masyarakat luar bandar meningkatkan pendapatan mereka sekali gus mencapai sasaran pendapatan minimum RM4,000 sebulan menjelang 2020,” ujarnya.

Terdahulu sebelum melawat projek di Kampung Stabut, Uggah serta rombongan melawat Projek Tanaman Getah Berkelompok di Kampung Merian Bedup, Serian.

Uggah turut dijadual menghadiri mesyuarat jawatankuasa pemandu NKEA sawit dan getah yang ke-45 di salah sebuah hotel terkemuka di sini selepas lawatan di kedua-dua tapak projek semalam.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Himmat Singh, Pengarah Pertanian Sarawak Datu Lai Kui Fong, Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian Datu Dr Ngenang Jangu serta yang lain.