Sibu tuan rumah sambutan hari jadi TYT ke-79

0

SIBU: Bahagian Sibu telah dipilih menjadi tuan rumah sambutan Perayaan Hari Jadi Ke-79 Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh berkata, pelbagai pengisian program sempena sambutan perayaan itu telah dirancang.

“Buat julung kalinya, kita akan mengadakan pameran memaparkan secara ringkas mengenai sejarah dan perkembangan berkaitan TYT dari dulu hingga kini,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusi mesyuarat sambutan di Pejabat Residen Sibu di Kompleks Islam Sibu, semalam.

Beliau berkata pameran bermula 13 hingga 18 September terbuka kepada orang ramai bermula jam 9 pagi hingga 9 malam di Dewan Kompleks Islam Sibu.

Menurut Wong, kerajaan negeri memilih bahagian Sibu sebagai tuan rumah sambutan hari jadi ke-79 TYT yang bermula 11 hingga 18 September.

“Saya selaku menteri bertanggungjawab mewakili seluruh masyarakat pelbagai kaum di bahagian Sibu sangat gembira dan bangga kerana diberi peluang menjadi tuan rumah sambutan perayaan.

“Sambutan ini bukan hanya untuk penduduk di Sibu, malah kepada mereka di wilayah tengah dan seluruh negeri ini,” ujarnya yang juga Menteri Kewangan Kedua.

Wong berkata sambutan dimulakan dengan Majlis Kesyukuran di Masjid An Nur pada 11 September.

“Acara diterus dengan konsert komuniti menampilkan persembahan artis pada hari yang sama bermula jam 8 malam hingga 11 malam di Dataran Bandar Sibu diikuti dengan persembahan bunga api,” katanya.

Pada 12 September, Istiadat Perarakan dan Rapat Raksasa diadakan di Dataran Bandar Sibu Fasa I & II bermula dari jam 8 pagi hingga 10 pagi dengan perarakan disertai 79 kontinjen.

“Acara diteruskan dengan Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak pada jam 11.30 pagi dan pada sebelah malamnya pula diadakan Majlis Jamuan Negeri,” ujar Wong.

Majlis Jamuan Teh diadakan pada 13 September di Dewan Kompleks Islam Sibu, diikuti Pertandingan Bola Sepak Piala Emas Rebutan Yayasan Sarawak pada sebelah petang hari yang sama di Stadium Tun Zaidi Sibu.

Wong berharap semua lapisan masyarakat khususnya di bahagian Sibu dan wilayah tengah agar turut hadir menyaksikan pelbagai acara sempena sambutan perayaan hari jadi ke-79 TYT.

Hadir sama pada sidang media ialah pengerusi penganjur jawatankuasa kerja iaitu Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha, Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee dan Panglima 9 Briged Brigedier Jeneral Abdul Rahim Sebeli.