Tak sempat brek, lelaki cedera rempuh kereta

0

KUCHING: Seorang penunggang motosikal nyaris maut selepas dipercayai gagal memberhentikan motosikalnya sehingga merempuh belakang sebuah kereta berdekatan bulatan Kota Samarahan, semalam.

Lelaki berusia 38 tahun itu semasa kejadian dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Sebangan, Sebuyau menuju ke tempat kerjanya di Jalan Stadium.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di persimpangan bulatan Kota Samarahan, mangsa dikatakan tidak sempat membrek motosikalnya sehingga merempuh belakang sebuah Proton Wira yang menunggu giliran untuk keluar ke bulatan berkenaan,” kata sumber.

Impak pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa tercampak beberapa meter dari tempat kejadian.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut segera membantu mangsa sementara menunggu ketibaan anggota paramedik.

Mangsa yang tidak sedarkan diri kemudian dikejarkan ke Pusat Jantung sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Sementara dalam kejadian berasingan, seorang lelaki warga emas dikejarkan ke HUS selepas terjatuh ketika berbasikal di Batu 4 Jalan Penrissen di sini, semalam.

Mangsa yang berusia 86 tahun itu semasa kejadian dipercayai menuju ke kedai berdekatan dengan mengayuh basikal dari rumahnya di Capital Garden sekitar jam 12 tengah hari.

“Mangsa bagaimanapun dikatakan tiba-tiba terjatuh dari atas basikalnya. Mujur mangsa tidak dilanggar kenderaan lain,” kata sumber.

Pengguna jalan raya yang melalui kawasan tersebut segera membantu mangsa dan turut menghubungi pihak ambulans untuk bantuan.

Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih menerima rawatan di HUS.