Tiga penganggur terlibat dadah diberkas polis

0

MIRI: Tiga penganggur disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah telah diberkas polis pagi semalam.

Tangkapan ke atas mereka dibuat hasil serbuan polis ke sebuah rumah di kawasan Quadruplex Bandar Baru Permyjaya di sini.

Berikutan itu, ketiga-tiga suspek berusia 52, 27 dan 37 tahun masing-masing dari Jalan Padang, Sibu; Pujut Corner dan Jalan Permyjaya Utama dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri diketuai Sub-Inspektor  Bakar Drahman  membuat serbuan ke sebuah rumah yang terletak di Quadruplex Bandar Baru Permyjaya di sini.

Dalam serbuan dilakukan sekitar jam 10.10 pagi itu, polis telah menahan tiga lelaki untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Polis membuat pemeriksaan lanjut dalam rumah itu tidak menjumpai apa-apa menyalahi undang-undang.

Sehubungan itu, ketiga-tiga suspek dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk menjalani ujian saringan air kencing dan hasilnya menunjukkan kesemua suspek positif dadah jenis Amphetamine.

Berikutan itu mereka telah ditangkap untuk membantu siasatan lanjut polis mengikut peruntukan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki memasukkan dadah ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM5,000 atau dua tahun penjara serta dikehendaki menjalani pengawasan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun.

 

myy-ub030915-rb-tangkapan(dadah)-p1

DIBERKAS: Ketiga-tiga suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri sebaik tangkapan semalam.