Umpil kerusi urut

0

Oleh Jeremy Lanson//

 

DICEKUP: Pencuri wang dari kerusi urut dihantar ke Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk siasatan lanjut.

DICEKUP: Pencuri wang dari kerusi urut dihantar ke Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk siasatan lanjut.

KUCHING: Dengan hanya menggunakan alat pembuka botol minuman, seorang lelaki berjaya mengumpil tempat simpanan wang pada beberapa kerusi urut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) semalam.

Bagaimanapun, tindakannya itu hanya mengundang padah apabila dia dicekup anggota polis bantuan LTAK bersama dengan wang tunai kira-kira RM100 yang dipercayai diperolehi dari kerusi urut berkenaan sekitar jam 12.30 pagi.

Menurut sumber, suspek berasal dari Batu 10, Kota Padawan itu mulanya dilihat berkeliaran di kawasan LTAK sebelum dia memasuki bangunan dan berlagak seolah-olah mahu menggunakan kerusi urut berkenaan.

“Difahamkan, anggota polis bantuan menjalankan rondaan melihat suspek mengumpil tempat simpanan wang kerusi urut berkenaan dan terus menahannya,” kata sumber.

Siasatan terhadap suspek menjumpai satu alat pembuka botol minuman dan mendapati sekurang-kurangnya tiga kerusi urut diumpilnya.

Suspek kemudian diserah kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara dalam kejadian berasingan, seorang lelaki ditahan beberapa minit selepas meragut beg tangan seorang wanita di Jalan Song Thian Cheok di sini, awal pagi semalam.

Sumber memberitahu, suspek berusia 28 tahun dan berasal dari Kampung Landeh, Batu 10 itu bertindak meragut beg milik mangsa berusia 23 tahun itu ketika sedang minum bersama rakan-rakannya sekitar jam 1.20 pagi.

“Mangsa cuba mendapatkan beg tangannya itu semula, tetapi gagal dan terus menjerit meminta pertolongan menyebabkan beberapa orang awam yang berada di situ terus mengejar suspek.

“Kerjasama antara orang awam dengan anggota polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah akhirnya berjaya menahan suspek tidak jauh dari tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian,” kata sumber.

Suspek kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh mangsa di balai polis tersebut.