Acara Pelancongan

0
TAHNIAH: Tun Taib ditemani Toh Puan Ragad bersama Adenan, Jamilah, Abang Johari, Abdul Karim dan tetamu kehormat lain bergambar kenangan bersama pemenang cabutan bertuah.

TAHNIAH: Tun Taib ditemani Toh Puan Ragad bersama Adenan, Jamilah, Abang Johari, Abdul Karim dan tetamu kehormat lain bergambar kenangan bersama pemenang cabutan bertuah.

DISAMBUT: Ketibaan Tun Taib disambut peserta ‘Kuching International Bike Week 2015’.

DISAMBUT: Ketibaan Tun Taib disambut peserta ‘Kuching International Bike Week 2015’.

‘Kuching International Bike Week’ dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Sarawak.

Oleh Rusnan Mustafa //

KUCHING: ‘Kuching International Bike Week’ (KIBW) kini dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Sarawak yang akan diadakan setiap dua tahun sekali di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata sukan permotoran seperti KIBW akan membantu merancakkan lagi industri pelancongan Sarawak.

“Kerajaan negeri bersedia untuk menyediakan peruntukan menerusi Kementerian Pelancongan bagi menganjurkan KIBW ini setiap dua tahun sekali di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam KIBW 2015 yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama isteri Toh Puan Datu Seri Ragad Kurdi Taib di Hotel Imperial, Boulevard di sini kelmarin.

Pada sama sama Adenan memberitahu, penganjuran KIBW di Kuching menjadikan bandar raya ini antara lokasi berprestij untuk sukan bermotor berkuasa tinggi, skuter dan kapcai.

“Terima kasih kepada mereka yang terlibat dalam menjayakan KIBW ini kerana telah meletakkan bandar raya Kuching dalam peta sebagai lokasi sukan permotoran,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata KIBW bukan sahaja membantu merancakkan industri pelancongan di negeri ini tetapi juga mengeratkan hubungan antara masyarakat Malaysia khususnya dan masyarakat dari negara jiran amnya.

Jelasnya lagi, KIBW juga dapat mempromosikan amalan berhemah kepada pengguna motosikal lain ketika di jalan raya.

Terdahulu, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg ketika berucap berkata, penganjuran KIBW merupakan petanda yang baik dalam mengeratkan hubungan lebih besar melalui pelancongan di Sarawak.

Malah Menteri Perumahan itu menambah dengan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, penganjuran acara tersebut pasti akan melihat rangsangan yang lebih besar peserta dan kemudahan yang lebih baik.

“Ini juga akan membawa kepada pemahaman yang lebih besar terhadap rakyat dan budaya Sarawak.

“Selain itu, kita telah bersetuju untuk memasukkan KIBW ini dalam Kalendar Pelancongan Sarawak dan kerajaan negeri bersedia membantu dalam apa-apa langkah dan berharap acara ini akan berkembang lebih besar pada masa akan depan,” ujarnya.

Turut hadir isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, tetamu kehormat lain dan peserta KIBW.