Pelan tindakan bakal memperkasa ibu tunggal

0
ANUGERAH: Norlida (empat kiri) dan Azizah (tengah) merakamkan gambar bersama sebahagian penerima anugerah pada Sambutan Hari Wanita di Dewan Pa’ Musa, Beaufort.

ANUGERAH: Norlida (empat kiri) dan Azizah (tengah) merakamkan gambar bersama sebahagian penerima anugerah pada Sambutan Hari Wanita di Dewan Pa’ Musa, Beaufort.

Menyumbang kepada kemajuan, pembangunan ekonomi

BEAUFORT: Satu Pelan Tindakan Pemerkasaan Ibu Tunggal (PTPIT) bakal diperkenalkan bagi memperkasakan secara menyeluruh peranan ibu tunggal di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata, pelan terbabit merangkumi pelbagai aspek iaitu dalam bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan serta perundangan.

“Saya percaya, usaha murni yang akan dilancarkan tidak lama lagi ini mampu menjadikan golongan ibu tunggal sebagai penyumbang kepada kemajuan dan pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada  Majlis Sambutan Hari Wanita Parlimen Beaufort yang disempurnakan isteri kepada Tuan Yang Terutama (TYT), Toh Puan Datuk Seri Panglima Norlida R.M Jasni di Dewan Pa’ Musa, di sini.

Hadir sama Peguam Negeri Sabah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) Datuk Mariati Robert dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Asminar Sukardi.

Dalam pada itu, Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, usaha kerajaan memastikan dasar 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan di peringkat sektor awam dan swasta telah menunjukkan hasil memberangsangkan.

Katanya, data sehingga Jun tahun ini menunjukkan penyertaan wanita dalam jawatan tertinggi di sektor awam telah mencapai 33 peratus sekali gus membuktikan kebolehan golongan itu diiktiraf kerajaan.

“Bagaimanapun, berlainan pula di sektor swasta apabila pencapaian wanita sebagai pembuat keputusan di peringkat itu secara umumnya cuma mencapai 15 peratus sahaja iaitu separuh daripada sasaran ditetapkan.

“Justeru, kita perlu menyuarakan perjuangan ini agar syarikat-syarikat swasta mendengar dan mempertimbangkannya bagi memastikan lebih ramai golongan hawa menduduki jawatan tertinggi di dalam sektor ini,” tegasnya.