Tepis persepsi negatif derma darah

0

Masih ramai yang belum menjadikan derma darah sebagai gaya hidup

POSITIF: Joannes (dua kanan, berdiri) melihat proses pemeriksaan kesihatan yang dijalankan menerusi Program Derma Darah.

POSITIF: Joannes (dua kanan, berdiri) melihat proses pemeriksaan kesihatan yang dijalankan menerusi Program Derma Darah.

KOTA KINABALU: Persepsi negatif bahawa menderma darah boleh menimbulkan pelbagai kesan sampingan perlu ditepis dalam kalangan masyarakat Malaysia khususnya di negeri ini.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Abidin Madingkir berkata, meskipun terdapat peningkatan jumlah penderma darah, namun masih ramai rakyat belum menjadikan derma darah sebagai gaya hidup dalam membantu golongan yang memerlukan.

Katanya, segelintir masyarakat masih beranggapan bahawa menderma darah boleh meninggalkan kesan sampingan seperti rasa tidak selesa, lemah tubuh badan dan sebagainya.

“Sebagai penderma darah, kita tidak perlu untuk mengalami masalah kekurangan darah dan kesan sampingan lain, kerana perkara ini sama sekali tidak akan berlaku.

“Badan kita sentiasa menghasilkan sel darah baharu bagi menggantikan sel darah yang mati akibat tua (selepas 120 hari). Apabila menderma, badan dirangsang untuk menghasilkan sel darah baharu yang mampu meningkatkan tahap kesihatan khususnya dalam membekalkan oksigen,” katanya di sini kelmarin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBKK Joannes Solidau ketika merasmikan Program Kesedaran Kanser sempena Kempen Derma Darah bertempat di Dewan Masyarakat Menggatal.

Selain itu, Abidin berkata penderma darah juga akan dapat mengetahui tahap kesihatan diri dari semasa ke semasa.

Pada masa sama katanya, ia juga berupaya menjauhkan diri daripada aktiviti yang tidak sihat kerana ia adalah salah satu kriteria penting bagi melayakkan seseorang menderma darah.

“Menerusi pendekatan ini, dari segi kualiti kutipan pain darah dari penderma dikategorikan sebagai selamat untuk digunakan.

“Manakala, dari segi kuantiti pula, akan wujudnya peningkatan jumlah penderma baharu dalam negara kita,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap usaha sedemikian mampu menjadi ikutan kepada organisasi serta persatuan lain yang ada di negeri ini.

Terdahulu, turut diadakan perkongsian ilmu berkaitan penyakit kanser oleh Masri Rayner dan Sister Diana.

Perkongsian pengalaman berkenaan berobjektif meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan mengenai penyakit berkenaan.

Program itu melibatkan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga Pekan Menggatal, Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah, Panel Klinik Kesihatan Menggatal dan Unit Tabung Darah Hospital Tuaran.