Dadah: Wanita Kenya dipenjara 20 tahun, terlepas hukuman gantung

0

KOTA KINABALU: Seorang wanita warga Kenya terselamat daripada hukuman gantung apabila hukumannya digantikan kepada tempoh penjara selama 20 tahun, atas kesalahan memiliki dadah seberat 3,747.63 gram.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Zawawi Salleh, Tuan Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham membuat keputusan itu terhadap Judith Achieng, 33, selepas membenarkan rayuan atas hukuman dan sabitan.

Mohd Zawawi berkata, perayu yang sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, bernasib baik apabila pertuduhannya dikurangkan kepada Seksyen 39A (2) akta sama.

“Kami mengalu-alukan warga asing sebagai pelancong, tetapi sekiranya melakukan kesalahan, mereka harus berhadapan dengan undang-undang,” katanya.

Pada 13 Ogos 2012, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman gantung mandatori terhadap Judith selepas didapati bersalah.

Perayu didapati melakukan kesalahan itu pada 13 September 2011 jam 8.45 pagi di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang, Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), di sini.

Peguam Hamid Ismail yang mewakili perayu berhujah, hakim perbicaraan gagal menilai secara maksimum bukti pendakwaan.

Menurutnya, pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa perayu mempunyai pengetahuan dan kawalan terhadap dadah terbabit.

“Perayu mengatakan membeli beg terbabit daripada pekan, serta tidak mempunyai pengetahuan mengenai dadah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga kerenggangan dalam peraturan garis andaian berganda, apabila elemen mengedar tidak dapat dibuktikan.

Jelasnya, dalam rekod rayuan juga menyatakan beban diletakkan terhadap perayu untuk membuktikannya tidak bersalah.

“Tiada perlakuan yang menimbulkan syak ketika pemeriksaan dilakukan terhadap perayu. Tetapi perkara ini tidak dipertimbangkan oleh mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana tidak membuat penemuan sama ada perayu menyangkal mengenai andaian mengedar dadah mengikut Seksyen 37 (d) akta sama, selepas di peringkat akhir perbicaraan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwaraya Tetralina Ahmed Fauzi menyatakan, perayu mempunyai pengetahuan mengenai dadah berkenaan dan hal ini sudah dinyatakan di dalam penghakiman.

Perayu juga gagal membuktikan bahawa tidak mengetahui mengenai dadah terbabit.

Tambahnya, beg yang digunakan oleh perayu pada waktu kejadian juga adalah berat, selain pihak kastam menganggarkan jumlah harga dadah berkenaan adalah sebanyak RM1.2 juta.

Dalam rayuan, Hamid menyatakan tempoh hukuman penjara 20 tahun adalah mencukupi untuk perayu.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan menyatakan, mahkamah harus mengambil kira jumlah berat dadah yang terlibat dan hukuman maksimum bagi Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952, adalah hukuman penjara boleh sampai tempoh 30 tahun.