Kereta api bawa 90 penumpang berlanggar dengan Proton Wira

0
LANGGAR: Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian selepas kereta api yang membawa 90 penumpang berlanggar dengan Proton Wira di Jalan Mawau berdekatan Kampung Pimping, Membakut pagi kelmarin.

LANGGAR: Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian selepas kereta api yang membawa 90 penumpang berlanggar dengan Proton Wira di Jalan Mawau berdekatan Kampung Pimping, Membakut pagi kelmarin.

BEAUFORT: Seorang warga tua berhadapan detik cemas apabila kereta yang dinaiki berlanggar dengan sebuah kereta api di Jalan Mawau berdekatan Kampung Pimping, Membakut pagi kelmarin.

Mangsa yang berumur 64 tahun itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan sementara seramai 90 penumpang di dalam kereta api terbabit tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintenden Azmir Abdul Razak sewaktu dihubungi mengesahkan kejadian jam 9.35 pagi itu.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kereta api yang membawa 90 penumpang ketika itu dalam perjalanan menuju ke Membakut dari arah Beaufort. Sebelum kejadian, mangsa yang memandu kereta Proton Wira itu dipercayai memandu ke arah landasan dan tidak memberhentikan kereta.

“Impak pelanggaran menyebabkan kereta berkenaan terbabas beberapa meter dari kawasan landasan kereta api.

“Mangsa yang berada di dalam kereta hanya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Beaufort untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut kemudiannya dan penumpang yang berada di dalam kereta api tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya.

Azmir berkata, kedua-dua lampu isyarat kereta api di lintasan kereta dipercayai berfungsi sepenuhnya ketika kejadian berlaku bagaimanapun pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci terhadap kejadian ini.