Kurangkan aktiviti luar semasa jerebu

0
JAGA KESIHATAN: Orang ramai digalak menggunakan topeng penutup hidung dan mulut ketika berada di luar rumah.

JAGA KESIHATAN: Orang ramai digalak menggunakan topeng penutup hidung dan mulut ketika berada di luar rumah.

KUCHING: Jika jerebu mencapai tahap ‘sangat tidak sihat’ kerajaan akan berbincang dengan Indonesia untuk meminta mereka mengurangkan aktiviti pembakaran terbuka.

Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil yang berkata demikian menambah perbincangan akan diadakan apabila tahap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai 200 dan 250.

Beliau yang memandang serius isu jerebu melanda beberapa kawasan di Sarawak berkata, orang ramai perlu mengurangkan aktiviti luar terutama apabila kini tiga kawasan di Sarawak – Kuching, Samarahan dan Sri Aman – mencecah bacaan ‘tidak sihat.’

“Jika perlu gunakan topeng penutup hidung dan mulut dan banyak minum air kosong untuk mengelakkan kesan terhadap kesihatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya lagi, pesakit asma juga didapati meningkat berdasarkan kunjungan para pesakit ke klinik-klinik kesihatan di Sarawak.

Mengenai penutupan sekolah, beliau berkata surat telah diedarkan kepada sekolah-sekolah bagi menasihatkan mereka tentang tindakan perlu dilakukan jika jerebu kian buruk.

Mengulas lanjut mengenai aktiviti sekolah, Pengarah Jabatan Kesihatan Datu Dr Zulkifli Jantan berkata pihaknya menasihatkan agar dikurang atau dihentikan sementara aktiviti luar membabitkan murid dan pelajar.

“Sebelum bacaan IPU mencapai 100 pun kita hantar surat kepada sekolah bagi menasihati tindakan perlu diambil ketika berhadapan jerebu,” ujarnya.

Semalam, tiga kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan IPU pada paras ‘tidak sihat.’

Samarahan merupakan kawasan mencatatkan bacaan paling tinggi yang menyaksikan hampir setiap jam meningkat mulai jam 7 pagi dengan bacaan 177. Setakat jam 5 petang, IPU di Samarahan ialah 184.

Sri Aman pada jam 5 petang ialah 177, manakala Kuching 164.

Sementara itu, Pengurus Kanan Malaysia Airport Mohd Nadzim Hashim berkata setakat jam 3 petang semalam, 657 orang terjejas akibat kelewatan penerbangan.

Bagaimanapun, situasi semalam tidak seteruk kelmarin memandangkan ia hanya membabitkan kelewatan penerbangan dan tidak ada penerbangan dibatal atau dilencongkan.

“Hari ini (semalam) setakat jam 3 petang enam penerbangan lewat sejam jika dibandingkan dengan semalam (kelmarin) ada yang lewat 12 jam.

“Hari ini (semalam) tidak ada penerbangan yang dilencongkan ke Sibu, berbanding semalam (kelmarin) enam penerbangan yang sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) terpaksa mendarat di Sibu,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, jarak penglihatan di LTAK pada petang semalam ialah 1,200 meter. Jika kurang 550 meter, lapangan terbang akan ditutup. Jarak penglihatan normal ialah 8,000 ke 10,000 meter.