Punca kelewatan naik taraf Lebuh India didedah

0

Ia disebabkan bahan perlu dipasang di laluan pejalan kaki berbumbung diimport dari luar

Oleh Henrietta Liza //

KUCHING: Kelewatan penghantaran bahan teras yang perlu dipasang di laluan pejalan kaki berbumbung di Lebuh India menyebabkan kerja-kerja menaik taraf tertangguh.

Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai yang menyatakan demikian menambah, kelewatan itu disebabkan bahan yang ditempah diimport dari luar kawasan Kuching.

“Setakat ini, kerja kasar telah 75 peratus siap dan apa yang tinggal sekarang hanyalah perparitan, pemasangan jubin dan pemasangan atap bagi laluan tersebut.

“Penghantaran bahan sudah sampai dan kita sudah mengarahkan mereka mempercepatkan kerja-kerja menaik taraf tetapi perlu mengambil kira langkah-langkah keselamatan pekerja dalam proses pemasangan dijalankan.

“Ia akan memerlukan beberapa minggu untuk menyiapkan semuanya,” katanya ketika ditemui sewaktu menjalankan lawatan terhadap komuniti Lebuh India dalam usaha meningkatkan momentum CBS di Lorong Kai Joo dan Jalan Barrack semalam.

Pihaknya tegas, enggan proses pemasangan laluan tersebut dilaksana secara sembarangan dan mengakibatkan kerugian seperti The Grand Mosque di Mekah baru-baru ini yang rosak disebabkan tiupan angin kuat.

Tambahnya, projek berkenaan sebelum ini dijangka siap pada penghujung September dengan kos perbelanjaan sebanyak RM4.3 juta dan akan diserahkan kepada DBKU sebagai klien pada penghujung Oktober.

Pihaknya juga selepas ini akan berbincang lagi dengan peniaga di Lebuh India agar tempat itu diuruskan oleh sebuah syarikat bersama DBKU.

Dalam hal yang berlainan, beliau menasihati orang ramai mengurangkan aktiviti beriadah sepanjang tempoh bacaan IPU jerebu masih di tahap kurang sihat.

“Bacaan Indeks Pencemaran IPU di Kuching masih berada di tahap tidak sihat dan jangan keluar ke kawasan terbuka untuk melakukan senaman atau kerja di luar,” tambahnya.

Penganjur yang mengadakan aktiviti di kawasan terbuka juga dinasihati mempertimbangkan keselamatan kesihatan orang awam terutama mereka yang mempunyai sakit akut (asma) dan banyak lagi.

Pihak DBKU juga tidak akan teragak-agak menutup kawasan taman dan riadah di bawah seliaan pihaknya sekiranya tahap IPU menjangkau tahap berbahaya bagi orang awam.

Kontraktor dan warden trafik turut diingatkan agar memakai topeng muka.

Beliau juga pada masa yang sama mahu setiap masyarakat menyedari kepentingan menjaga kebersihan persekitaran terutama di kawasan bandar.

“Semua orang menjalankan tanggungjawab bersama dan sememangnya itulah semangat yang mahu kita lihat dalam setiap masyarakat dalam menjaga kawasan tersebut mengikut program CBS.

“Ia adalah yang pertama dijalankan di kawasan bandar kerana sebelum ini gotong-royong kita jalankan di kawasan kampung.

“Jika bukan anda yang menjaganya, siapa lagi yang akan melakukannya?,” tegasnya.

Turut menemani beliau adalah Ahli Dewan DBKU Datuk Wee Hong Seng, ahli Persatuan Perniaga Lebuh India dan CIMB Bank.