Anugerah menghargai sumbangan wanita Sarawak dalam bidang seni: Fatimah

0
BAKAL DIRASMIKAN: Fatimah (lima kanan) menunjukkan buku ‘Sarawak Women In Arts’ selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk HW15 semalam.

BAKAL DIRASMIKAN: Fatimah (lima kanan) menunjukkan buku ‘Sarawak Women In Arts’ selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk HW15 semalam.

KUCHING: Satu anugerah khas iaitu Wanita Sarawak Dalam Seni (Sarawak Women in The Arts) akan disampaikan pada Sambutan Hari Wanita 2015 (HW15) peringkat negeri pada 17 Oktober depan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata anugerah khas itu diberi sebagai menghargai dan menyanjungi sumbangan wanita Sarawak dalam bidang seni.

Beliau memberitahu, anugerah khas itu bersesuaian dengan tema sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri tahun ini iaitu ‘Wanita Sarawak Dalam Seni’.

“Anugerah khas ini antara enam anugerah yang akan disampaikan nanti.

“Lima anugerah lain ialah Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib, Anugerah Ketua Menteri Usahawan Wanita, Anugerah Ketua Menteri Penggiat Sosial Wanita, Anugerah Ketua Menteri Kepimpinan Wanita dan Anugerah Pertubuhan Wanita Cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan HW15 di Wisma Wanita, di sini semalam.

Katanya majlis sambutan HW15 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) itu akan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Pada majlis masa katanya, buku ‘Sarawak Women in The Arts’ akan dilancarkan.

“Majlis ini adalah kemuncak kepada HW15 kerana  sambutan sudah bermula 21 Ogos hingga 16 Oktober di peringkat daerah, diikuti pelancaran buku ‘Sarawak Women The Pioneers’ pada 10 September lepas.

“Pada 5 Oktober nanti akan diadakan program ‘Let’s Get Together’ bersama kementerian dan Karnival ‘Walk of Love 2015 – Saya Sayang Sarawak’,” katanya.

Fatimah berkata kira-kira 6,000 peserta akan dijemput menghadiri sambutan HW15 terdiri daripada dif-dif kehormat, barisan kabinet negeri, Ahli Parlimen, ADUN, ketua-ketua jabatan, sektor korporat dan swasta serta pertubuhan wanita berdaftar dengan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JKWS).

Turut dijemput pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) serta rakan-rakan strategik JWKS.