ATM ikrar pertahan keselamatan dan kedaulatan negara

0
TAHNIAH: Stephen menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima.

TAHNIAH: Stephen menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima.

KOTA SAMARAHAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berikrar akan terus melestarikan peranan dan tanggungjawab sebagai perisai keselamatan serta kedaulatan negara.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Dr Zulkefli Mohd Zin berkata, untuk itu warga ATM mesti berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi pada setiap masa.

“Alhamdulillah berkat pegangan prinsip profesionalisme angkatan yang didukung selamat ini telah memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap ATM dan sokongan ini telah memberi suatu legitimasi serta pengiktirafan kepada ATM untuk terus melangsungkan peranannya sebagai perisai negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibaca oleh Panglima Satu Divisyen Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw sempena Hari ATM Ke-82 di Padang Kawad Kompleks Kem Muara Tuang di sini semalam.

Pada masa sama, Zulkefli berkata, pengurusan pertahanan dan keselamatan nasional dilihat semakin mencabar yang menuntut satu transformasi angkatan dibuat agar segala tindakan angkatan tentera sejajar dengan tuntutan semasa.

Jelasnya, pelan strategik pembangunan keupayaan ATM yang dikenali sebagai ‘Fourth Dimension Malaysian Armed Force’ (4D MAF) adalah usaha mentransformasi ATM menjadi satu angkatan berspektrum penuh, kredibel dan seimbang.

“Angkatan baharu ini akan mampu menangani ancaman tradisional hinggalah ancaman bukan tradisional kepada keseimbangan trilogi ‘Man’, ‘Machine’ dan ‘Method’.

“Untuk mewujudkan satu angkatan berspektrum penuh ini memerlukan perancangan yang jitu dan komitmen yang kental, justeru saya menyeru setiap warga angkatan tentera di setiap peringkat agar melipat ganda usaha serta iltizam bagi menjayakan transformasi angkatan ini,” tegasnya.

Dalam aspek kualiti kehidupan dan kebajikan warga ATM pula, Zulkefli berkata, inisiatif untuk memantapkan lagi ganjaran serta terma perkhidmatan sedang diambil dan dipertimbangkan oleh kerajaan.

Di samping itu, menurutnya pembinaan infrastruktur serta kemudahan akan dilaksanakan dengan giatnya di seluruh negara.

“Dalam masa terdekat ini pula, kerajaan akan mengumumkan rancangan pembinaan lebih banyak rumah keluarga di seluruh negara dan usaha ini pastinya dapat meningkatkan moral dan memperkasakan lagi daya juang warga ATM untuk terus memberi perkhidmatan terbaik,” ujarnya.

Pada majlis itu, Stephen turut menyampaikan sijil penghargaan dan cek kepada pelajar cemerlang yang terdiri daripada kalangan anak warga ATM.