Jalan Miri-Marudi akan dinaik taraf

0

Jalan dibina di bawah Projek Jiwa Murni ATM sudah rosak, banyak lubang berbahaya

Oleh W. Bolly Ongie //

UNTUKMU: Dennis (enam kiri) menyampaikan cenderamata khas berupa parang tradisional Orang Ulu kepada Fadillah, sambil disaksikan yang lain.

UNTUKMU: Dennis (enam kiri) menyampaikan cenderamata khas berupa parang tradisional Orang Ulu kepada Fadillah, sambil disaksikan yang lain.

MARUDI: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof memberi jaminan bahawa jalan raya  menghubung Miri dan Marudi akan dinaik taraf  secepat mungkin secara berperingkat termasuk kemudahan asas, seiring pembangunan sedia ada.

Beliau berkata jalan dibina di bawah Projek Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu sudah rosak serta banyak lubang berbahaya untuk pengguna jalan raya dan sudah tiba masanya  diperbaiki.

Fadillah berjanji bahawa Jalan Miri-Marudi akan diturap semula menjelang hujung tahun ini   selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil alih  tugas penyelenggaraan jalan berkenaan, memulakan kerja menaik taraf dan memperbaiki kerosakan jalan tersebut kelak.

“JKR telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa bersama pihak setiausaha persekutuan dan setiausaha kerajaan negeri bagi membincangkan masalah itu.

“Ini termasuk mengadakan tinjauan terhadap jalan raya tersebut bagi mengenal pasti kerosakan dan usaha menaik tarafnya,” katanya.

Katanya selepas JKR mengambil alih jalan raya itu kelak, pihaknya akan mengatasi segera masalah jalan berlubang serta memperbaiki kerosakan lain termasuk membaik pulih kawasan kerap kemalangan.

“Saya jamin jalan ini kelak akan menjadi lebih baik, cantik dan selesa dilalui,” tambahnya.

Terdahulu Fadillah merasmikan penutupan pertandingan bola sepak Piala ADUN Telang Usan YB Dennis Ngau, di padang bola sepak SMK Long Lama dekat sini, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata kerajaan membawa pembangunan dan kemajuan di setiap kawasan luar bandar negeri ini.

“Tetapi paling penting ialah masyarakat harus bersatu padu dan menghormati pemimpin mereka serta memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pemimpin khasnya ADUN di Telang Usan Dennis Ngau supaya pembangunan dapat dinikmati dari satu generasi ke satu generasi akan datang,” katanya.

Pada majlis sama, Fadillah turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada pihak penganjur, Pemuda PBB Telang Usan dan Unit SABERKAS Telang Usan serta RM30,000 untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Long Lama bagi tujuan menaik taraf padang sekolah itu.