Kerajaan sasar 90 peratus guru kelahiran Sabah, S’wak bertugas di negeri sendiri

0
CERIA: Najib (tengah) memotong reben sebagai simbolik perasmian Terminal 1 LTAKK. Turut kelihatan Musa (dua kanan), Ahmad Zahid (dua kiri) dan Liow (kiri).

CERIA: Najib (tengah) memotong reben sebagai simbolik perasmian Terminal 1 LTAKK. Turut kelihatan Musa (dua kanan), Ahmad Zahid (dua kiri) dan Liow (kiri).

KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat menetapkan sasaran sebanyak 90 peratus guru yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak terdiri daripada mereka yang berasal dari kedua-dua negeri berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, sasaran berkenaan ditetapkan untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Menurutnya, langkah yang diambil itu adalah termasuk dalam peringkat pertama penurunan kuasa yang dibuat secara pentadbiran kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

“Pelaksanaan prinsip penurunan kuasa kepada kedua-dua kerajaan negeri ini sesuai dengan hasrat mereka dalam memainkan peranan yang lebih penting seiring dengan hasrat rakyat Sabah dan Sarawak.

“Pada peringkat pertama, penurunan kuasa akan dibuat secara pentadbiran dan ia dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

“Isu berkaitan guru dianggap sebagai perkara yang merumitkan kerana terlalu ramai guru di Sabah dan Sarawak datang daripada Semenanjung,” katanya.

Sehubungan itu jelasnya, guru-guru berkenaan tidak kekal lama untuk berkhidmat di Sabah dan Sarawak dan digantikan dengan guru-guru yang kurang berpengalaman.

“Ketika ini, jumlah guru kelahiran Sarawak adalah seramai 32,168 orang daripada 41,935 orang.

“Ini bermakna, dalam tempoh tiga tahun, jumlah guru kelahiran Sarawak yang berkhidmat di negeri berkenaan akan meningkat kepada 38,082 orang dengan pertambahan seramai 5,914 guru.

“Sasaran yang sama juga akan dilaksanakan di negeri Sabah dan perkara ini akan dibincangkan secara lanjut menerusi jawatankuasa bersama,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa bersama itu melibatkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah dan Sarawak serta Ketua Setiausaha Kerajaan Pusat.

Najib berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), di sini kelmarin.

Menurutnya, usaha itu akan membantu kestabilan pendidikan dalam konteks tenaga pendidik di negeri Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, walaupun mereka agak kurang dari segi kelayakan, namun langkah berkenaan dilihat akan membantu meningkatkan pencapaian akademik.

“Kerajaan negeri juga akan diberi peranan lebih besar dalam menentukan projek khususnya berhubung senarai keutamaan projek pembangunan.

“Rundingan juga akan diadakan antara Kerajaan Persekutuan dengan kedua-dua kerajaan negeri.

“Selain itu, jawatankuasa untuk penilaian tender projek-projek Kerajaan Persekutuan boleh dilaksanakan di peringkat negeri,” jelasnya.

Penilaian berkenaan katanya, dibuat melalui jawatankuasa yang dianggotai oleh SKN dan wakil-wakil Kerajaan Pusat.

Najib turut mengumumkan temu duga bagi pengambilan jawatan-jawatan ke dalam perkhidmatan awam tidak hanya berpusat di bandar tertentu sahaja.

Menurutnya, temu duga juga akan diadakan di kawasan lain yang bersesuaian untuk memudahkan penduduk menghadiri temu duga berkenaan.

“Sebanyak 100 jawatan pegawai Imigresen turut diluluskan bagi menambah baik jumlah kakitangan imigresen di Sabah dan Sarawak untuk penguatkuasaan.

“Pegawai Undang-Undang Negeri juga diberi kuasa oleh Pendakwa Raya di bawah Kanun Acara Jenayah untuk menjalankan kuasa-kuasa pendakwaan bagi kesalahan-kesalahan di bawah ordinan negeri,” katanya.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.