Manfaat AKPK untuk bebas masalah hutang, kata Nancy

0

AKPK bantu rancang kewangan dan elakkan peminjam terjerumus masalah kewangan sehingga diisytihar muflis

Oleh Mastura Ismail //

IKHLAS: Henry (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Nancy sambil disaksikan Hasbi.

IKHLAS: Henry (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Nancy sambil disaksikan Hasbi.

LAWAS: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) penting dalam membantu rakyat merancang kewangan sekali gus mengelak peminjam terjerumus dalam masalah kewangan sehingga diisytihar muflis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata AKPK memberi khidmat membantu orang ramai dalam mengurus kewangan masing-masing dengan bijak dan sistematik termasuk memberi nasihat menangani bebanan hutang secara percuma.

“AKPK agensi yang berperanan membantu rakyat merancang kewangan dengan baik dan mentadbir urus harta serta memastikan rakyat tidak terjerumus dengan masalah kewangan sehingga menjadi muflis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Perundangan Masyarakat Pendidikan Kewangan Bijak anjuran Pemuda dan Wanita Barisan Nasional Parlimen Lawas dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri di sebuah hotel ternama di Lawas semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong dan Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah.

Lebih 200 peserta yang terdiri daripada ketua kaum dan masyarakat serta ahli parti hadir pada forum itu.

Jelasnya pengetahuan kewangan amat penting dalam meningkatkan kesedaran orang ramai menabung sebagai asas kepada pengumpulan harta, persediaan untuk menghadapi perbelanjaan tidak diduga dan sebagai bantuan kewangan pada waktu persaraan.

Tambahnya, sejak penubuhannya sehingga Ogos tahun ini lebih 364,248 individu mendapat khidmat nasihat dan kaunseling kredit AKPK dalam mengurus kewangan.

Daripada jumlah tersebut, katanya seramai 136,733 daripadanya menghadapi masalah membayar balik hutang telah dibantu melalui Program Pengurusan Kredit.

Jelasnya lagi, faktor yang menyumbang kepada masalah hutang dan ketidakupayaan membayar balik pinjaman adalah disebabkan perancangan kewangan yang lemah, tidak mempunyai pengetahuan dalam membuat perancangan kewangan dan tidak hidup mengikut kemampuan kerana tahap disiplin kewangan yang kurang.

Pengarah Insolvensi Negeri Muhd Azmi Moshud, Ketua Cawangan Amanah Raya Berhad Kota Kinabalu Usman Hamid dan Kaunselor dan Penceramah daripada AKPK Cawangan Sarawak Yeo Wee Kiak antara penceramah yang dijemput untuk forum sehari itu.