Masyarakat Cina di Limbang diminta sokong kepimpinan Adenan

0
TERANG: Sufian (lima kiri) Hamdiah, Ang, Temenggung Ang, Dr Rahman dan Fakri (tiga kanan) memegang tanglung untuk dibawa berarak pada program itu.

TERANG: Sufian (lima kiri) Hamdiah, Ang, Temenggung Ang, Dr Rahman dan Fakri (tiga kanan) memegang tanglung untuk dibawa berarak pada program itu.

LIMBANG: Masyarakat Cina di daerah ini diminta agar berdiri teguh dan memberi sokongan kepada kepimpinan kerajaan pusat dan negeri khususnya Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dalam meneruskan agenda pembangunan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail berkata sokongan berkenaan amat penting bagi menjayakan hasrat Sarawak agar tidak ketinggalan berbanding Semenanjung Malaysia.

Malah kata Dr Rahman, Sarawak masih memerlukan lebih banyak pembangunan secara berterusan untuk dilaksana di daerah ini terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Penduduk di daerah ini termasuk masyarakat Cina perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan dan kepimpinan Adenan dalam menerus agenda pembangunan,” katanya pada Program Karnival Rukun Tetangga dan Sambutan Hari Malaysia di Dataran Jubli Emas malam kelmarin.

Lebih 5,000 penduduk di daerah ini membanjiri Dataran Jubli Emas dan pusat bandar bagi menyaksikan kemeriahan Perarakan Tanglung yang disertai 34 persatuan dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang terdapat di daerah ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Limbang Hamdiah Bakir, Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufian Mohat,  Pegawai Perpaduan Bahagian Mohd Fakri Asmad, Pengerusi KRT  Pekan yang juga pengerusi pengelola program Ang Chiw Kiam dan Temenggung Ang Kheng Su.

Dr Rahman berkata lagi, kerajaan pusat juga bersetuju untuk melaksana lebih banyak pembangunan demi kepentingan rakyat di Bumi Kenyalang ini.

Projek Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo ujarnya satu bukti jelas mengenai keprihatinan kerajaan pusat untuk membina sistem perhubungan yang lebih baik kepada Sarawak sama seperti di Semenanjung Malaysia.

“Selain itu dasar kepimpinan Adenan juga banyak mengutamakan kebajikan rakyatnya meskipun baharu memegang jawatan sebagai Ketua Menteri.

“Oleh itu penduduk di sini dan masyarakat Cina diminta agar memberi sokongan termasuk pada Pilihan Raya Negeri yang akan datang dan memberi peluang kepada Adenan untuk menjadi Ketua Menteri dalam tempoh lima tahun lagi,” jelasnya.

Mengulas mengenai program itu beliau berkata program itu juga dimeriahkan bukan saja masyarakat Cina, tetapi masyarakat lain yang datang awal untuk sama-sama meraikan Malam Kebudayaan dan Hari Malaysia.

“Ia merupakan perayaan penuh kegembiraan dan mengutamakan nilai-nilai tradisi serta memupuk keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat serta keluarga.

“Pada masa sama program itu juga simbol perpaduan, kesatuan dan kerjasama semua kaum tanpa mengira perbezaan agama dan budaya,” katanya.

Kata beliau perpaduan perlu dikekal bagi mengelak sebarang perpecahan dan perbalahan seperti yang berlaku di negara lain.

Sementara itu Dr Rahman berkata daerah Limbang juga sudah mempunyai program  besar untuk dilaksana sepanjang tahun sekali gus menarik kemasukan pengunjung ke sini.

Jelasnya kebanyakan perayaan yang diadakan juga menggambarkan kepelbagaian etnik yang ada seperti Melayu, Kedayan, Bisaya, Iban dan kaum-kaum lain.