Rakyat luar bandar harus sokong Adenan: Jabu

0

Ini kerana Adenan mempunyai dasar kepimpinan yang menumpukan kepada pembangunan luar bandar

Oleh Nick Fletcher //

PATRIOTIK: (dari kiri) Masing, Jabu dan Adenan serta Jamilah mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak sempena sambutan perayaan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak di Sematan, malam kelmarin.

PATRIOTIK: (dari kiri) Masing, Jabu dan Adenan serta Jamilah mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak sempena sambutan perayaan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak di Sematan, malam kelmarin.

SEMATAN: Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang menyeru rakyat di luar bandar negeri ini supaya memberi sokongan penuh kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Menurut Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar itu, ini kerana Adenan mempunyai dasar kepimpinan yang menumpukan kepada pembangunan luar bandar.

“Ketua Menteri telah menekankan tumpuannya untuk membangunkan luar bandar.

“Maka saya rasa, orang luar bandar harus menyokong beliau dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 pengunjung sempena sambutan perayaan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak di sini, malam kelmarin.

Turut hadir Adenan serta isteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohammad Morshidi Abdul Ghani.

Dalam pada itu, Jabu berkata rakyat Sarawak juga akan terus berjuang bersama-sama Adenan untuk menjaga keamanan negeri ini.

Katanya gejala tidak sihat yang dibawa dari Semenanjung Malaysia harus disekat daripada memasuki negeri ini.

“Kita menyokong Ketua Menteri untuk menyekat unsur-unsur tidak baik yang dibawa dari Semenanjung Malaysia ke negeri ini yang boleh menjejaskan kenamaan dan keharmonian kita,” katanya.