Lee: Kejohanan futsal Piala Sarawak perlu diteruskan

0

MIRI: Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin mahu penganjuran Kejohanan Futsal (Lelaki & Wanita) Piala Sarawak 2015 diteruskan pada masa akan datang agar Sarawak tidak ketandusan pemain-pemain futsal berbakat.

Jelas beliau, kejohanan itu juga menjadi landasan terbaik dalam mempromosikan gaya hidup sihat seiring dengan misi yang dilaungkan kerajaan selama ini.

Pada masa sama, Lee yang juga Menteri Muda Perhubungan turut memuji inisiatif Kementerian Pembangunan Sosial (KPS), Pejabat Residen Bahagian Miri dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menganjurkan temasya tersebut.

“Syabas kepada KPS, FAS dan Pejabat Residen Bahagian Miri kerana berjaya memastikan kejohanan ini dianjurkan dengan baik dan jayanya.

“Kejohanan ini bukan sahaja memberi peluang kepada pemain terlibat mengetengahkan bakat yang ada pada diri mereka malah menggalakkan penglibatan masyarakat terutamanya golongan remaja dalam aktiviti sihat,” katanya ditemui selepas menyempurnakan perasmian kejohanan itu di Stadium Bandaraya Miri semalam.

Hadir sama Setiausaha Tetap KPS Kameri Affandi, Residen Bahagian Miri Anthonio Kathi Galis, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Duke Janteng serta beberapa jemputan lain.

Sebanyak 24 buah pasukan berentap bagi memburu kejuaraan kejohanan edisi kedua tersebut yang akan berakhir malam ini.

Penyertaan dibahagi kepada 12 pasukan lelaki dan 12 wanita mewakili semua bahagian negeri ini.