Salah faham antara Chong Wei- Frost sudah selesai, kata Khairy

0

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengesahkan perselisihan faham antara Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen dan Datuk Lee Chong Wei sudah selesai.

Dalam pertemuan dengan Chong Wei kelmarin, katanya bekas pemain nombor satu dunia itu itu telah memberikan jaminan bahawa masalahnya dengan Frost tidak akan berterusan.

Katanya Chong Wei menyatakan bahawa beliau rasa letih dan memerlukan rehat selepas tidak berhenti daripada menyertai kejohanan apabila kembali semula daripada penggantungan, Mei lepas.

Chong Wei digantung lapan bulan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) atas kesalahan doping pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, akhir Ogos tahun lepas.

Chong Wei turut menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai masalah dengan Frost dan hanya meminta disediakan rakan sepelatih untuk dibawa ke kejohanan di luar negara, kata Khairy kepada pemberita selepas merasmikan jualan promosi barangan sukan sempena Hari Sukan Negara di sini, semalam.

Mengenai penganjuran sulung Hari Sukan Negara pada 10 Okt ini, Khairy menyasarkan lebih lapan juta penyertaan daripada rakyat Malaysia termasuk muridmurid sekolah dari seluruh negara.

Katanya, dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), atlet berprestasi tinggi negara juga akan mengambil bahagian dalam penganjuran kali ini.

“MSN dan ISN akan selaraskan program yang melibatkan atlet, di mana akan diadakan kejohanan kebangsaan supaya mereka terlibat sama dalam aktiviti sukan pada hari itu.

“Lagipun, Hari Sukan Negara bukan acara khusus untuk atlet… ia adalah untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Khairy berkata sehingga kini, lebih 9,500 aktiviti berkaitan sukan akan dianjurkan sempena penganjuran Hari Sukan Negara melibatkan agensi kerajaan, pihak swasta, sekolah, institut pengajian tinggi, peringkat negeri dan juga kampung. — Bernama