Meskipun tewas David tetap kagum

0

KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak, David Usop kagum dengan semangat perjuangan tinggi ditunjukkan oleh anak-anak buahnya walaupun tewas 1-0 di tangan Perak pada kempen Piala Malaysia 2015 di Stadium Ipoh, Perak malam kelmarin.

Meskipun tewas, David tetap berpuas hati dengan corak permainan semua pemainnya kerana mampu mengekang asakan pasukan tuan rumah.

“Saya kagum dengan semangat melawan tinggi yang ditunjukkan oleh semua pemain sehingga wisel penamat meskipun kita tewas tipis 1-0.

“Corak permainan kita jauh lebih baik berbanding pada perlawanan pertama ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Sabtu lalu,” katanya mengulas persembahan skuad Sarawak semalam.

Menurut David, nasib skuadnya mungkin berbeza jika pemain pertahanan, Ronny Harun dapat beraksi.

“Kita kurang bernasib baik selepas Ronny (Harun) terpaksa direhatkan kerana mengalami masalah kecederaan di bahu.

Ia menyebabkan saya terpaksa meletakkan Patrick (Gerhardt) di posisi pertahanan,” jelasnya.

Tambahnya, Sarawak mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol namun nasib tidak menyebelahi mereka.

Gol tuan rumah dijaringkan oleh bekas penyerang Sarawak, Bobby Gonzalez pada minit ke-63.

Ia berpunca daripada kesilapan Ramesh Lai yang gagal menghantar bola dengan kemas kepada penjaga gol, Iqbal Suhimi sebelum disambar kemas oleh Bobby untuk meledak gol kemenangan Perak.

Meskipun tewas, Sarawak masih kekal di tangga kedua Kumpulan B dengan tiga mata di belakang Johor Darul Takzim (JDT) yang mengungguli carta dengan enam mata setakat ini.

Sarawak akan menentang JDT di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan pada 26 September (Sabtu) ini.