Stephen menepati ramalan juara tinju ‘heavy weight’

0

KUCHING: Stephen Onn Jenggieng menepati ramalan kejohanan tinju ‘Golden Glove’ selepas berjaya memenangi pertarungan akhir kategori ‘heavy weight’ 91kg di Kubah Ria malam kelmarin.

Petinju berusia 26 tahun dari Sibu itu menewaskan Mohd Faizal Omar dari Negeri Sembilan.

“Ia rasa hebat menjadi antara petinju ‘heavy weight’ terbaik di Malaysia dan saya mahu mewakili negara,” kata Stephen yang bekerja sebagai jurulatih peribadi.

Dalam kategori lain, Muhamad Fuad Mohd Redzwan menewaskan Bumbung Budam dalam kategori 49kg, Jayaraman Selvakumar menewaskan Mohd Azuan Mohd Nor dalam kategori 52kg manakala Mohd Adli Tajuddin menewaskan As Sufi dalam kategori 56kg.

Kategori lain menyaksikan Mohd Alnazirul Othman memenangi kategori 60kg selepas menewaskan Wan Muhamad Ridzuan Mohd, Khirakyazalan Azmi memenangi kategori 64kg selepas menewaskan Andrew Laba dan Eswaran Murali menewaskan Zainuddin Abdul Rahman memenangi kategori 69kg.

Dalam kategori 75kg, Indran Ramakrishnan menewaskan Rudy Petrus untuk memenangi kejuaraan manakala Shamir Naim Johnny menewaskan Muhamad Alieshah Mohd Kamaryzaman dalam kategori 81kg.

Presiden Persatuan Tinju Amatur Malaysia, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dalam ucapannya berkata Sarawak mempunyai sejarah melahirkan petinju yang baik seperti pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Sapok Biki.

“Saya percaya semangatnya ada bagi generasi petinju baharu negeri ini dan kita ingin melihat lebih ramai petinju berkembang dalam sukan ini di Sarawak,” katanya.

Beliau juga yakin Sarawak akan menjadi tuan rumah terbaik untuk SUKMA 2016 dan negeri ini dipilih menganjurkan kejohanan tinju Sukan SEA 2017.

Turut hadir Presiden Persatuan Tinju Sarawak, Datuk Rahman Lariwoo dan pengerusi kejohanan, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw.