Sasaran 300,000 pelancong akan dicapai

0

Berikutan perkembangan memberangsangkan yang dicapai sehingga kini, kata Pang

KOTA KINABALU: Sasaran 300,000 kedatangan pelancong China ke Sabah untuk 2015 adalah tidak mustahil untuk dicapai memandangkan perkembangan positif yang dicapai sehingga kini.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Pang Nyuk Ming berkata, walaupun terdapat penurunan kedatangan pelancong China ke Sabah pada enam bulan pertama berbanding tempoh yang sama tahun lalu tetapi sejak bulan Julai sehingga September, kedatangan mereka mula meningkat.

“Pada tahun hadapan kita mengharapkan perkembangan yang lebih positif memandangkan terdapat dua penerbangan sewa khas iaitu Eastern Airline dari Shanghai ke Kota Kinabalu sebanyak tiga kali seminggu dan mungkin akan menambah ke lima kali seminggu atau menggunakan kapal terbang yang lebih besar.

“Selain itu, Southern Airline akan mulakan penerbangan dari Guangzhou ke Kota Kinabalu tiga kali seminggu pada Disember nanti,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis perasmian pembukaan filem siri China di sini pada malam Isnin lalu.

Beliau berkata, ia menunjukkan bahawa penerbangan dari China juga mempercayai potensi pelancongan di Sabah.

Katanya, apa yang perlu dilakukan adalah bekerja lebih baik untuk memperbanyakkan lagi produk pelancongan di Sabah.

“Kementerian kita juga mula membuat kajian untuk mencari sejarah perhubungan di antara Sabah dengan China yang dipercayai bermula sejak 1000 tahun dahulu ketika China berada dalam Dinasti Song.

“Masyarakat China juga terdahulu mempunyai satu penempatan di salah satu daerah di Sabah dan sejarah sedemikian perlu kita kaji untuk dijadikan produk pelancongan,” katanya.

Terlebih dahulu dalam ucapannya, Pang yang juga mewakili Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, beliau berharap dengan kerjasama erat daripada Konsulat China di Sabah, pelancong dari negara itu akan bertambah banyak pada masa hadapan.

Sementara itu, Konsul Jeneral Pejabat China di Sabah, Chen Peijie berkata pertukaran budaya adalah penting untuk mempromosi persahabatan dan kerjasama dalam masyarakat pada ketika ini.

Katanya, tujuan penayangan filem siri China itu adalah sebagai peluang berkongsi mengenai sejarah, kebudayaan, pakaian tradisional, kemanusiaan, meningkatkan persefahaman bersama dan seterusnya menguatkan lagi hubungan di antara China dan Sabah yang telah terjalin selama ini.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Presiden Kehormat Persatuan Persahabatan Ma-zhong Sabah dan juga Pengurus Besar Operasi Kawasan Kumpulan KTS Ngu Ngiong Hieng.