Pejalan kaki maut dilanggar bas mini

0

SANDAKAN: Seorang pejalan kaki maut dilanggar sebuah bas mini di Jalan Karamunting dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zabidi Md Zain berkata, mangsa merupakan seorang lelaki berumur 64 tahun.

Beliau memberitahu, siasatan awal yang dijalankan mendapati kemalangan berlaku semasa bas mini yang dalam perjalanan dari bandar Sandakan menuju ke Batu Sapi kira-kira jam 12 tengah hari.

“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba mangsa berlari melintas dan pemandu bas mini tidak sempat mengelak,” katanya.

Beliau berkata, pemandu bas mini terus membawa mangsa ke Hospital Duchess of Kent Sandakan dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pihak hospital akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Zabidi berkata, pemandu bas mini dibawa ke Cawangan Trafik IPD Sandakan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.