Seorang rentung, dua cedera parah selepas kapal terbakar

0
PERIKSA: Pegawai bomba memeriksa kapal selepas kebakaran di bengkel baiki kapal Jalan Lai Fook Kim Batu 8 di Sandakan, petang kelmarin.

PERIKSA: Pegawai bomba memeriksa kapal selepas kebakaran di bengkel baiki kapal Jalan Lai Fook Kim Batu 8 di Sandakan, petang kelmarin.

SANDAKAN: Seorang rentung manakala dua lagi cedera parah selepas sebuah kapal pengangkut minyak mentah kelapa sawit yang sedang diperbaiki terbakar dan berlaku letupan di bengkel baiki kapal Jalan Lai Fook Kim Batu 8, petang kelmarin.

Pegawai Penguasa Bomba dan Penyelamat Zon Sandakan, Anddre Andrew berkata pihaknya telah menerima panggilan kebakaran berkenaan jam 1.34 petang.

Dua jentera bomba dan tiga kereta bantuan bersama 13 anggota yang diketuainya bergegas ke lokasi kejadian, katanya.

Beliau berkata setiba di lokasi kejadian mendapati berlaku letupan dan tiga pekerja terlibat dalam letupan berkenaan.

“Dua pekerja berjaya diselamatkan dan dikejarkan ke Hospital Duchess Of Kent akibat mengalami kecederaan parah,” katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya mendapati seorang lagi pekerja lelaki dalam keadaan rentung.

Beliau berkata, pihaknya berjaya memadamkan api sepenuhnya kira-kira jam 2 petang.

Anddre berkata, mayat mangsa yang rentung kemudiannya diserah kepada pihak polis sebelum dihantar ke hospital yang sama untuk dibedah siasat.

Pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan, katanya.