SMK Tamparuli akan paten sistem amaran kesan banjir

0
TERMETERAI: Kusdi (kanan) bertukar dokumen MoU dengan Roslee (kiri), sambil disaksikan oleh Jahid (tengah), Julita (dua kanan) dan Roslan (dua kiri) semasa Majlis Penghantaran Peserta dan Majlis Penghargaan Petronas All About Youth di Putatan.

TERMETERAI: Kusdi (kanan) bertukar dokumen MoU dengan Roslee (kiri), sambil disaksikan oleh Jahid (tengah), Julita (dua kanan) dan Roslan (dua kiri) semasa Majlis Penghantaran Peserta dan Majlis Penghargaan Petronas All About Youth di Putatan.

PUTATAN: Langkah mendaftarkan serta mempatenkan sistem amaran pengesan banjir yang diusahakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli dalam projek ‘Petronas All About Youth (PAAY) dilihat akan membolehkan pelaksanaan projek ‘Awas! Bahaya di hadapan’ itu diperluaskan ke seluruh Sabah.

Pengetua SMK Tamparuli Kusdi Ribut berkata, selepas pertandingan peringkat kebangsaan PAAY itu berlangsung, sekolah berkenaan akan mempatenkan projek itu sebelum memperluaskan pelaksanaan projek itu ke seluruh negeri ini.

Pelaksanaan itu dibuat bagi menyahut seruan Petronas agar projek berkenaan dilaksanakan di seluruh negeri bagi memastikan keselamatan penduduk lebih terjamin apabila berlaku banjir.

Ke arah memperbaiki sistem keselamatan mengesan banjir itu, sekolah terbabit sudah menandatangani dua Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi memastikan keberkesanan sistem berkenaan.

“Kita sudah menandatangani MoU bersama Ahli Parlimen (MP) Tuaran yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Wilfred Madius Tangau dan juga Politeknik Kota Kinabalu.

“MoU bersama MP Tuaran itu antara isi kandungannya adalah membantu dari segi menambahbaik projek termasuklah melihat aspek perundangan. Bantuan itu akan diberikan menerusi agensi kerajaan berkaitan.

“Pemantauan dan penyelenggaraan projek itu untuk masa akan datang akan dikendalikan oleh JKR.

“Perjanjian bersama Politeknik pula lebih kepada melihat aspek teknikal dalam memperkemaskan dan mengukuhkan lagi sistem keselamatan itu,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Penghantaran Peserta dan Majlis Penghargaan Program Petronas All About Youth 2015, di sini kelmarin.

Selepas projek itu diiktiraf JKR, SMK Tamparuli membantu melaksanakan projek berkenaan di Riverbug Kiulu dan kini sedang dalam perbincangan untuk membina sistem keselamatan yang sama di Kampung Membakut Baru, Membakut.

Ditanya sama ada sekolah itu mendapat royalti daripada pelaksanaan projek yang sudah dilaksanakan, Kusdi berkata, setakat ini mereka tidak menuntut royalti namun, selepas sistem berkenaan dipatenkan kelak, mungkin mereka akan memperoleh hasil daripada pelaksanaan projek itu.

Sementara itu, Ketua Petronas Wilayah Sabah dan Labuan Julita Ontol berkata, program PAAY ini mula diperkenalkan pada tahun 2014 di bawah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Petronas.

Pada tahun ini, program berkenaan diperluaskan ke negeri Johor, Melaka dan Kelantan berbanding tahun lalu, ia hanya melibatkan tiga negeri iaitu Sabah, Sarawak dan Terengganu.

Program pada kali ini menyaksikan penglibatan sebanyak 90 sekolah di enam negeri berkenaan yang membabitkan 1,800 orang pelajar tingkatan empat. Setiap pasukan mempunyai seramai 20 orang ahli.

Menurutnya, aktiviti sebegitu memberi peluang kepada pelajar untuk mendekatkan diri dengan masyarakat dan agensi kerajaan berkaitan melalui pelaksanaan projek yang mereka lakukan.

“Dengan adanya platform sebegini, kita bukan sahaja membina ‘Hak Pemunyaan’ tetapi juga mendedahkan pelajar tentang tanggungjawab mereka kepada persekitaran dan masyarakat agar mereka dapat memberi sumbangan kepada negeri ini,” katanya.

Julita berkata, pada tahun ini sebanyak 15 sekolah bersaing di peringkat negeri dan menyaksikan SMK Tamparuli muncul sebagai juara dengan projek yang berteraskan keselamatan ‘Awas! Bahaya di hadapan’ yang dipasang di Jambatan Lama Tamparuli.

Mengenai MoU yang ditandatangani antara SMK Tamparuli dan Politeknik itu, beliau berkata, perjanjian berkenaan adalah proses untuk menambah baik sistem amaran pengesan banjir.

“Melalui penambahbaikan itu, sistem berkenaan akan dapat mengesan banjir sejauh 1km dari tempat kejadian,” jelasnya.

Dalam pertandingan peringkat kebangsaan, pemenang akan menerima dana berjumlah RM50,000 serta wang tunai RM1,200 untuk setiap ahli pasukan yang akan dimasukkan sebagai deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Untuk tempat kedua dan ketiga pula, setiap ahli pasukan akan menerima RM1,000 dan RM800 dalam juga akan dimasukkan sebagai desposit SSPN.

Sementara itu, Madius dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat N9 Tamparuli Datuk Jahid Jahim berkata, sistem keselamatan yang dilancarkan pada 30 Jun lalu itu dilihat sebagai sistem yang berkesan untuk mengurangkan risiko ketika banjir di Jambatan Lama Tamparuli.

Katanya, beliau yakin projek berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat Tamparuli malah akan turut dimanfaatkan pengguna jalan raya yang datang dari seluruh Sabah ke kawasan berkenaan.

Jahid dalam pada itu berkata, dengan adanya produk pelancongan baharu iaitu luncur udara atau paragliding di tebing Sungai Tamparuli, ia dilihat akan meningkatkan lagi kunjungan orang ramai ke kawasan berkenaan.

Maka, pembinaan sistem amaran pengesan banjir itu akan dimanfaatkan oleh semua pihak yang datang ke situ.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Pengarah Politeknik Kota Kinabalu Roslee Yahya, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Kemanusiaan Roslan Idris bagi mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri.