Istilah demokrasi bersifat relatif

0

Mempunyai erti yang berbeza mengikut negara, kata Pandikar Amin

KOTA KINABALU: Apabila Speaker Parlimen Malaysia, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berdiri untuk berucap pada Persidangan Speaker Parlimen Sedunia Keempat di PBB di New York baru-baru ini, beliau mengatakan bahawa sebenarnya demokrasi adalah suatu istilah yang bersifat relatif serta sukar diberi definisi secara jelas.

Kepelbagaian budaya dan kelainan corak politik yang wujud di setiap negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadikan istilah demokrasi bersifat relatif dan mempunyai erti yang berbeza mengikut negara.

Oleh itu, pemahaman mengenai demokrasi di sesetengah negara tidak sepatutnya dipaksa untuk diterima oleh negara lain yang mempunyai budaya, agama dan latar belakang sosial yang berbeza, katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

Katanya, adalah sesuatu yang lebih baik sekiranya sesetengah negara dibiarkan mentadbir rakyat mereka secara berbeza mengikut demokrasi barat.

Beliau mengetuai delegasi 21 delegasi termasuk pegawai Dewan Rakyat dan Dewan Negara ke Persidangan Speaker Parlimen Sedunia Keempat di New York baru-baru ini.

Ketika berucap pada persidangan itu juga, Pandikar Amin yang menyentuh mengenai  konsep demokrasi sebagai alat untuk mewujudkan keamanan dan pembangunan lestari berkata tema persidangan itu, “Memanfaatkan Demokrasi Untuk Keamanan dan Pembangunan Lestari: Membina Dunia Seperti Yang Diingini Manusia”, juga bersifat relatif.

Katanya, bagaimanapun, Malaysia menggunakan PBB sebagai  platform berkesan untuk menyuarakan pandangannya tentang perkara itu.

Ketika berada di New York, Pandikar juga mengadakan pertemuan dengan Speaker Parlimen dari Hungary, Iran dan Vietnam serta Presiden Dewan Senate Kanada.

Persidangan Speaker Parlimen Sedunia Keempat yang dihadiri speaker-speaker Parlimen dari seluruh dunia adalah satu forum untuk dialog antara Parlimen di peringkat tertiggi. Tema persidangan berfokus kepada dialog mengenai kedamaian, demokrasi dan pembangunan.

Ia dianjurkan oleh Inter-Parliamentary Union (IPU. Antara yang hadir ialah Presiden IPU, Saber Chowdary, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon, Presiden PBB, Sam K Kutesa  dan hampir semua speaker Parlimen di seluruh dunia.

Ucap tama disampaikan oleh Duta Khas UNESCO mengenai Perdamaian, Forest Whitaker, manakala antara yang berucap ialah Speaker Parlimen Uganda, Rebecca Kadaga, Speaker Dewan Persidangan Kebangsaan Mauritius, Santi Bai Hanoomanjee, Speaker Bundestag Jerman, Norbert Lammert, Speaker Palrlimen New Zealand, David Carter.