Orkid jadi tarikan utama pelancongan Sabah: Masidi

0

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun mahu bunga orkid dijadikan antara tarikan utama sektor pelancongan negeri ini.

Beliau berkata Sabah memiliki kira-kira 54 peratus daripada koleksi tumbuhan orkid yang terdapat di Pulau Borneo dengan 870 spesies orkid boleh didapati di Taman Kinabalu, sekali gus menjadikannya kawasan terluas penanaman orkid di dunia.

“Saya harap ini dapat kita gunakan sepenuhnya untuk menarik lebih ramai pelancong dan penggemar bunga ke Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Antarabangsa Orkid Borneo di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu di sini semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Masidi berkata kerajaan melalui Jabatan Hidupan Liar dan Pusat Biodiversiti turut melarang pengeksportan beberapa jenis bunga orkid bagi menjamin ia tidak akan pupus.

Beliau juga berkata hasil penyelidikan yang dijalankan dengan kerjasama pihak swasta, berjaya menemui spesies orkid yang baharu dikenali sebagai ‘kipandiorchis jaminusii’.

Mengenai pameran itu, Masidi berkata ia dapat mendidik dan mengajak masyarakat untuk melihat spesies bunga orkid liar serta hybrid (kacukan) yang terdapat di negeri ini.

Pameran yang bertemakan ‘Syurga Orkid di Sabah’ berlangsung selama dua hari bermula semalam. — Bernama