Pelancong China didakwa tipu wanita tempatan

0

KOTA KINABALU: Seorang pelancong China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam terhadap tuduhan cuba memperdaya seorang wanita tempatan pada 14 Sept lepas.

Zhao XingQin, 53, berasal dari Yunan, China didakwa menipu Ling Been Lan, 45, dengan memperdayakan mangsa bahawa keluarganya akan ditimpa musibah sekiranya tidak menyerahkan harta kepada tertuduh.

Wanita itu melakukan kesalahan tersebut di Taman Foh Sang di sini pada 14 Sept, dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sehingga 10 tahun penjara serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan deposit RM3,500 kepada mahkamah dan dua orang penjamin tempatan.

Beliau menetapkan 15 Okt sebutan semula kes itu.

Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Inspektor Isfandiar Dr Jasdi manakala tertuduh diwakili peguam Syaiful Suffyan. — Bernama