Tiga jentolak ceroboh tanah rizab di sita

0

KOTA KINABALU: Jabatan Tanah dan Ukur Sabah menyita tiga jentolak yang digunakan untuk menceroboh tanah rizab padang ragut di Kampung Lohan Ulu, Ranau malam kelmarin.

Operasi sitaan itu melibatkan sembilan pegawai dan kakitangan dari Bahagian Penguatkuasaan Tanah, Unit Serbuan, Ibu Pejabat Jabatan Tanah dan Ukur Negeri manakala semua jentolak tersebut kini ditempatkan di tapak sitaan jabatan berkenaan untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Ranau DSP Mohd Farhan Lee Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mengenai sitaan tersebut.

Baru-baru ini, kerajaan negeri mengecam tindakan syarikat yang berdegil untuk meneruskan kerja pembukaan ladang sawit di kampung itu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata syarikat terbabit melanggar peraturan yang termaktub dalam Ordinan Tanah selain memperlekeh keputusan mesyuarat bagi mencari kaedah terbaik menangani isu berkenaan.

Beliau menegaskan pembukaan ladang sawit berkenaan bukan hanya menjejaskan 17 kawasan tadahan hujan sebagai sumber air utama penduduk Lohan malah mengganggu ekosistem semula jadi kawasan rizab padang ragut itu. — Bernama

Selain itu, penerokaan bukit secara berleluasa turut dikhuatiri mengundang kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur, sekali gus menjejaskan kualiti air sungai yang mengairi kawasan sawah padi di Kampung Lohan dan sekitarnya. — Bernama