ADUN Sekong sumbang 14 ekor lembu korban

0

SANDAKAN: Bersempena Hari Raya Adiladha pada tahun ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong Datuk Samsudin Yahya telah menyampaikan sumbangan 14 ekor lembu untuk diagih-agihkan kepada masyarakat setempat di Taman Indah, di sini.

Majlis penyerahan telah diadakan di Masjid Nurrursakirin Indah Jaya, kelmarin.

Dalam majlis itu, Samsudin menyeru pemimpin masyarakat di kawasan DUN Sekong agar membantu beliau dari segi tenaga dan fikiran bagi memajukan kawasan perkampungan masing-masing dalam erti semangat 1Malaysia dalam satu pasukan.

“Mereka perlu berfikir untuk berubah…berubah minda, mempunyai jati diri dan mahu menerima perubahan,” katanya.

Menurut Samsudin, setiap rakyat perlu ada pengorbanan yang hakiki dan mampu memberi keinsafan ke dalam setiap diri dengan membawa kebaikan kepada orang lain, selain sebagai wadah pencetus kemajuan kepada pembangunan yang sedia ada sekali gus membawa kesejahteraan kepada negara.

Jelas beliau, sikap sedemikian bukan sahaja dapat memakmurkan kekayaan, malah seluruh rakyat akan dapat menikmati kehidupan yang aman dan harmoni.

“Ibadah korban bukan sahaja menuntut umat Islam untuk mengorbankan haiwan tetapi erti korban luas makna jika dihayati dan difahami,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi berkata, makna berkorban bukan untuk haiwan sahaja tetapi untuk mengeratkan dan menjalinkan hubungan sesama anggota keluarga dan masyarakat.

Katanya, ibadah korban mencerminkan sifat keikhsanan yang sangat dianjurkan Islam dan menuntut semua masyarakat bermuafakat, tolong-menolong dan bersatu padu.Tambah Samsudin, pengorbanan ini hanya akan berlaku sekiranya kita dapat sama-sama kembali untuk memahami dan menghayati konsep, falsafah dan pengajaran di sebalik ibadat haji dan korban dalam erti kata yang lebih luas.

Jelasnya, Islam menuntut umatnya supaya sentiasa bergandingan tangan, bermuafakat dan saling membantu tidak kira sewaktu senang atau susah. Tinggalkan segala perbezaan dan elakkan perbalahan sesama sendiri.