BIKF bukan sekadar main layang-layang: Rodziah

0

Ia bawa komuniti berkumpul, terlibat sama dan menyaksikan pelbagai aktiviti dilangsungkan

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

BINTULU: Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo Bintulu bukan sahaja berkaitan permainan layang-layang sebaliknya ia membawa komuniti berkumpul dan terlibat sama menyertai dan menyaksikan pelbagai aktiviti dilangsungkan.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Rodziah Morshidi berkata usaha pihaknya bukan sahaja berkaitan penganjuran festival tetapi membawa komuniti terlibat sama seperti kempen kebersihan yang diadakan sebelum ini.

“Tahun ini merupakan kali ke-11 festival ini dianjurkan dan yang terbesar pernah diadakan dengan penyertaan 150 peserta daripada 34 negara seluruh dunia,” katanya pada perasmian Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo Bintulu di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu semalam.

Katanya jumlah penyertaan semakin bertambah setiap tahun dan BDA berbesar hati serta gembira menjadi sebahagian daripada penggerak penting festival bersama para pelayang.

“Saya percaya festival ini mampu berperanan sebagai jaringan antarabangsa melibatkan penganjur dan peserta dari negara-negara terlibat seperti Lithuania, Amerika Syarikat, Australia dan lain-lain.

“Justeru, saya berharap semua peserta dapat menikmati acara diadakan seperti di tempat sendiri,” katanya.

Menurutnya, beberapa aktiviti diadakan membawa peserta ke Kampung Assyakirin Fasa 1 bersama-sama merasai pengalaman berada dalam suasana kampung sekali gus berharap tahun depan peserta dapat kembali menyertai festival itu.

Pihaknya turut berharap dapat menarik lebih ramai peserta tempatan tahun depan berikutan maklum balas positif diterima daripada beberapa pihak.

Katanya Bintulu semakin besar dan populasinya juga terus meningkat, tidak hanya menerima kehadiran penduduk dari negara ini malah kehadiran warga asing.

“Kami mengalu-alukan penglibatan penduduk Bintulu dalam aktiviti dianjurkan sekali gus membantu menjadikan Bintulu aman dan selamat mencapai visi Bandar Raya Perindustrian Mesra pada 2020,” katanya.