Jang Altel 2 ‘Raja Sungai’

0
KAMI JUARA: Pekayuh-pekayuh Jang Altel 2 meraikan kejayaan mereka merangkul gelaran ‘Raja Sungai’ Regata Sarawak 2015.

KAMI JUARA: Pekayuh-pekayuh Jang Altel 2 meraikan kejayaan mereka merangkul gelaran ‘Raja Sungai’ Regata Sarawak 2015.

Ungguli acara akhir Bidar 30 Pekayuh Terbuka, Regata Sarawak 2015

KUCHING: Gelaran ‘Raja Sungai’ menjadi milik Jang Altel 2 apabila merangkul juara acara akhir Bidar 30 Pekayuh Lelaki Terbuka, Regata Sarawak 2015 yang berakhir di Tebingan Kuching semalam.

Mencatatkan masa 7.03, Jang Altel 2 menewaskan juara tahun lalu Enraz Cahaya Zen 3 (naib juara) hanya ketinggalan lima saat manakala tempat ketiga diduduki Kumpulan Yayasan Sarawak 3 dengan masa 7.15.

Kemenangan bergaya itu membolehkan Jang Altel 2 membawa pulang Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan wang tunai RM10,000 manakala pemenang kedua dan ketiga masing-masing menerima RM8,000 dan RM6,000.

Hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan turut disaksikan oleh mantan Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin.

Manakala Kumpulan Yayasan Sarawak mendominasikan beberapa acara dengan memenangi Bidar 30 Pekayuh Lelaki VIP – Piala Pusingan Petronas, Bidar 20 Pekayuh Campuran (15 Lelaki dan 5 Wanita) Terbuka, Bidar 15 Pekayuh Campuran (10 Lelaki dan 5 Wanita) serta Bidar 10 Pekayuh Lelaki.

Sementara pasukan Landas juga membuktikan kehebatan apabila menjuarai acara Bidar 30 Pekayuh Lelaki Petra, Bidar 30 Pekayuh Lelaki – 1KM dan Bidar 15 Pekayuh Lelaki Terbuka menerusi perahu Landas 46, Landas 51 dan Landas 31.

Acara Bidar 20 Pekayuh Lelaki Antara Bahagian, Piala Pusingan Altel dimenangi Kumpulan Yayasan Sarawak/ Puteri Dang Balai (Kuching) menewaskan Sri Muara Tuang (Samarahan) dan Landas (Limbang).

Sementara itu, acara Bidar 20 Pekayuh Lelaki Terbuka, Piala Pusingan Petra Energy Berhad dan Kenyalang Terbuka 20 Pekayuh Lelaki, Piala Pusingan Iltizam Centre Miri pula masing-masing diungguli pasukan Unche Chu dan Jang.

Dalam pada itu, Mutiara Jang Sambas merangkul Piala Pusingan Kementerian Pelancongan Sarawak setelah memenangi acara Kenyalang Campuran (15 Lelaki dan 5 Wanita) manakala Swinburne Phytons C menjuarai acara Kenyalang 20 Pekayuh Lelaki IPTA/ IPTS – Piala Pusingan JX Nippon.

Armada Pemuda PBB mengungguli acara Bidar 10 Pekayuh Wanita menewaskan Sri Muara Tuang dan Swinburne Kapita Hulu di tempat kedua dan ketiga.

Bagi acara Balok 7 Pekayuh Lelaki dimenangi Sri Pakatt dengan tempat kedua dan ketiga dimenangi Imbok (PBB Batu Kawa) dan Lanun 2.