Langgar penanda jalan: Wanita maut, suami parah

0

KINABATANGAN: Seorang wanita maut manakala suaminya cedera parah apabila kereta Proton Saga FLX yang dipandu melanggar penanda jalan dan termasuk ke dalam lubang yang dikorek di Kilometer 97 Jalan Sandakan-Lahad Datu, di sini awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintenden A Sahak Rahmat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi itu, wanita yang merupakan penumpang dikenali sebagai Normilah Udah, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian badan dan perut.

Manakala pemandu Proton Saga terbabit Mohd Noor Saibol, 27, mengalami cedera parah di bahagian tumit kaki sebelah kiri, dan dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan.

Sahak berkata, siasatan awal mendapati kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah Sandakan ke Lahad Datu telah melanggar penanda jalan dan termasuk ke dalam lubang yang dikorek di atas jalan dalam lorong menghala ke Lahad Datu.

“Akibat kejadian itu, Proton Saga berkenaan mengalami kerosakan yang teruk di bahagian hadapan, manakala penumpang meninggal dunia di tempat kejadian dan pemandu cedera parah,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan berpunca daripada bentuk jalan yang rosak menyebabkan pemandu Proton Saga melanggar penanda jalan dan lubang yang dikorek di atas jalan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pemandu yang melalui Jalan Lahad Datu-Sandakan supaya berhati-hati kerana sebahagian jalan terbabit mengalami kerosakan dan sedang dalam pembaikan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.