Pemasangan CCTV bantu tingkatkan keselamatan penghuni bandar raya

0

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yakin bahawa pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) akan membantu dalam meningkatkan keselamatan penghuni sekitar bandar raya ini.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Abidin Madingkir berkata, pemasangan CCTV di setiap sudut jalan adalah selaras dengan Kempen Bandar Selamat yang telah dilancarkan pada tahun 2010.

Katanya, ia diwujudkan bagi memastikan persekitaran bandar raya sentiasa selamat kepada pelancong tempatan dan asing yang mengunjungi bandar raya ini.

“Jabatan Kementerian Dalam Negeri memperuntukkan RM400,000 bagi melaksanakan lima projek iaitu laluan pejalan kaki dan motosikal di Inanam dan Luyang.

“Kira-kira RM514,000 lagi diperuntukkan kepada Dewan Bandaraya oleh kerajaan negeri bagi pembinaan lampu jalan, tempat letak motosikal dan papan notis dalam pelaksanaan Kempen Bandar Selamat tahun ini,” katanya kepada media semasa majlis pelancaran Kempen Bandar Selamat di bangunan Dewan Bandaraya, di sini kelmarin.

Selain itu Abidin berkata, kerjasama berterusan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi-agensi lain juga mampu mengurangkan kira-kira 20 peratus daripada kadar jenayah sekitar pusat bandar ini.

Pengerusi Dewan Perniagaan Cina dan Industri Kota Kinabalu Datuk Michael Lui Yen Sang sempat memberi penghargaan kepada DBKK kerana memilih KKCCCI sebagai rakan kongsi kempen berkenaan.