Persembahan ‘Memecak’ masih mendapat sambutan di kalangan peminat tempatan

0

KUCHING: Penyertaan hampir 100 peserta pada program persembahan ‘Memecak’ yang diadakan di Bintulu semalam jelas membuktikan seni warisan Sarawak itu masih mendapat sambutan di hati peminat.

Program selama sehari itu dianjur sempena Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2015 yang berlangsung meriah di Bintulu.

Ia dianjurkan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Jemaah Pemikir Jepak dengan kerjasama BAWARIS, Gabugan Seni Silat Asli Jepak Hulu Bintulu dan Rumpun Silat Sarawak Wilayah Bintulu.

Menurut Jawatankuasa Penganjur, program tersebut untuk mempromosi seni warisan Sarawak seperti acara memencak yang kerap diadakan semasa hari raya pada suatu ketika dahulu agar tidak hilang ditelan arus permodenan.

Selain itu, ia juga bertujuan memupuk minat masyarakat terutamanya golongan belia dalam mengenali asal- usul dan seni warisan bangsa sendiri.

Ini termasuk mempelajari dengan lebih mendalam kehalusan dan tertib memecak agar ia terus dipelihara.

“Kita berharap persembahan Memecak dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memelihara seni warisan Sarawak agar tidak hilang dan pupus begitu sahaja.

“Justeru itu, program promosi dan klinik Memecak akan diadakan dari semasa ke semasa bagi memastikannya seni warisan ini terus terpelihara,” kata kenyataan penganjur semalam.

Menurutnya, sokongan dari semua pihak amatlah diharapkan bagi memastikan impian ini tercapai dan seni warisan terus dipelihara untuk tatapan masyarakat masa depan.

Menteri Muda Pelancongan, Datuk Talip Zulpilip menambah seri semasa program berlangsung apabila turut memberi sokongan dan menonton persembahan Memecak.

Penasihat program, Ahmad Bakar kemudiannya menyampaikan cenderamata kepada Talip sambil diiringi ahli jawatankuasa penganjur yang lain.

Hadir sama Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim.