Tindakan pencegahan penting sebelum jenayah berlaku

0

Jaga keselamatan tidak harus diserah kepada polis sahaja, masyarakat perlu ada kesedaran dalam mencegah jenayah

Oleh Sandy Mark Luna //

 

KUCHING: Tindakan pencegahan sebelum berlakunya jenayah adalah penting di mana tanggungjawab itu harus dipikul bersama oleh anggota masyarakat, kata Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad.

Jelasnya, usaha menjaga keselamatan tidak harus diserahkan bulat-bulat kepada pasukan polis kerana masyarakat perlu mempunyai kesedaran dalam kaedah mencegah jenayah.

“Tindakan pencegahan sebelum berlakunya jenayah adalah paling penting di mana tanggungjawab ini seharusnya dipikul bersama oleh anggota masyarakat dan tidak meletakkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan program Ceramah Pencegahan Jenayah di Kuching Sentral di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Pengerusi Persatuan Kepolisan Komuniti Sarawak Kenny Tan dan pengerusi penganjur Oscar Tan.

Roslan berkata, pelbagai pendekatan telah diambil dan diperkenalkan dalam mempertingkatkan aspek keselamatan awam terutama di kawasan-kawasan tumpuan.

Katanya ia adalah salah satu langkah awal untuk mendampingi masyarakat secara dekat bagi memberi keyakinan tentang kehadiran polis bersama mereka dalam usaha mencegah jenayah dan memastikan keselamatan awam.

Program Kepolisan Masyarakat katanya, memberi peluang kepada anggota polis untuk berinteraksi secara terus dengan masyarakat dan sebagai medium perantara memudahkan interaksi dua hala antara polis dan masyarakat.

Objektif terpenting adalah untuk mempertingkatkan kepentingan keselamatan awam, terutama dilihat daripada sudut kadar jenayah, di samping mengekalkan taraf kualiti hidup masyarakat agar terjamin dan sejahtera.

“Apa yang penting, setiap anggota masyarakat juga harus memainkan peranan dan tanggungjawab sosial masing-masing bagi memastikan persekitaran kita selamat.

“Dalam konteks ini, setiap lapisan masyarakat harus mempunyai kesedaran terhadap aspek jenayah dan keselamatan awam dengan mengetahui apakah punca dan akibat atau kesan negatif terhadap masyarakat,” katanya.