Usahawan disaran tampil dengan produk berinovasi

0
INOVASI: Presiden KCCI Bonipasius Bianis (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Madius (tengah) semasa Majlis Perasmian Program Pembangunan Usahawan Bumiputera, kelmarin.

INOVASI: Presiden KCCI Bonipasius Bianis (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Madius (tengah) semasa Majlis Perasmian Program Pembangunan Usahawan Bumiputera, kelmarin.

Pelbagai bidang boleh dikembangkan dengan teknologi

KOTA KINABALU: Ke arah merealisasikan hasrat kerajaan untuk merakyatkan inovasi bagi meningkatkan pendapatan negara, lebih ramai usahawan di negeri ini disaran untuk tampil dengan produk berinovasi berasaskan sains dan teknologi pada masa hadapan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, untuk itu beliau menggalakkan usahawan terutama usahawan Bumiputera di negeri ini agar melibatkan diri dalam pelbagai bidang yang boleh dikembangkan menggunakan teknologi.

Memandangkan Malaysia antara peneraju dalam memperkembangkan teknologi bio, beliau berharap Malaysia juga akan berada di hadapan untuk mengembangkan teknologi nano yang dilihat teknologi baharu yang berpotensi dikembangkan.

“Gelombang teknologi yang kita mahu kembangkan bagi menjana eknonomi berasaskan bio adalah teknologi nano. Saya secara peribadi ingin menjadi peneraju. Baru-baru ini saya membentangkan idea itu (teknologi nano) kepada sekumpulan pemuda tetapi mereka masih belum berapa faham.

“Saya pun mula-mula tidak berapa faham tentang nano tetapi untuk sedikit gambaran tentang teknologi nano, teknologi ini menukarkan bahan buangan menjadi produk yang memberikan hasil.

“Misalnya, cecair sisa buangan ladang sawit boleh hasilkan pelbagai jenis produk. Mungkin tidak lama lagi dengan adanya teknologi nano, ia membolehkan kita mengecas bateri telefon dalam tempoh lima minit sahaja,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Program Pembangunan Usahawan Bumiputera, di sini kelmarin.

Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) ini berkata, memandangkan banyak teknologi baharu yang diusahakan maka, beliau berharap agar usahawan di negeri ini akan memanfaatkan teknologi yang ada ini untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

Kemudian ditanya mengenai usaha kementerian itu bagi merakyatkan inovasi, beliau berkata, kempen berkaitan akan diadakan dalam masa terdekat.

“Di peringkat kementerian, kita juga ada agensi Yayasan Inovasi Malaysia tetapi ia lebih kepada inovasi di peringkat akar umbi. Apa yang ingin kita lihat adalah secara meluas dan apa yang penting adalah rakyat sedar idea inovasi mereka dialu-alukan.

“Kerajaan ingin melihat lebih banyak inovasi. Kita tidak mahu pekara seperti dahulu berlaku dimana, orang yang mempunyai inovasi, ada produk datang ke kementerian tetapi tidak dapat sokongan dan akhirnya mereka lari ke luar negara dan kita kehilangannya,” jelasnya.

Atas sebab itu, kementerian berusaha merakyatkan inovasi bagi menggalakkan masyarakat dan usahawan di negara ini terlibat dalam menghasilkan produk berinovasi yang mampu menjana pendapatan.

Dalam pada itu, Madius berkata, memandangkan ramai Bumiputera lebih berminat dengan politik berbanding berniaga, beliau ingin menggalakkan masyarakat momogun (Bumiputera Sabah) agar terlibat dalam perniagaan.

“Saya harap lebih ramai Bumiputera melibatkan diri dalam perniagaan. Saya mahu lihat lebih ramai Momogun menjadi usahawan daripada cuba menjadi (ahli politik) seperti saya.

“Orang mengatakan Sabah kaya dengan sumber alam semula jadi tetapi, kita juga mempunyai jumlah parti politik yang banyak dan lebih banyak lagi akan muncul. Apa yang kita mahu adalah kaya dalam aspek mempunyai syarikat yang boleh membawa kita ke peringkat global.

“Oleh itu, saya mahu lebih ramai masyarakat Bumiputera terlibat dalam perniagaan supaya dapat membantu meningkatkan penyertaan kaum Bumiputera dalam sektor korporat,” katanya.

Mengenai keadaan ekonomi negara, beliau berkata, ada kalanya masyarakat menuding jari mengatakan kedudukan ekonomi yang tidak sihat ini disebabkan masalah politik dan kepimpinan dalam negara.

Namun, perlu lihat keadaan sebenar yang mana, perkara itu disebabkan hal perdagangan antarabangsa, pasaran antarabangsa dan hal berkaitan perniagaan seperti harta komoditi.

Kemudian menyentuh mengenai usaha kementerian itu dalam pembinaan keusahawanan, Ahli Parlimen Tuaran ini berkata, kementerian itu melakuikan sedikit pembaharuan dengan mengagihkan penglibatan usahawan kepada tiga komponen iaitu Bumiputera Semananjung, Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak bagi memudahkan pemerhatian dilakukan bagi melihat usahawan yang berpotensi.