FIM iktiraf litar Go-Kart Miri

0

Oleh Mohd Norhadie Sahari//

TAHNIAH: Lee (tiga kanan) dan Wan Zaharuddin (dua kiri) dalam sesi bergambar bersama pemenang Kejohanan Supermoto Malaysia 2015 petang kelmarin.

TAHNIAH: Lee (tiga kanan) dan Wan Zaharuddin (dua kiri) dalam sesi bergambar bersama pemenang Kejohanan Supermoto Malaysia 2015 petang kelmarin.

MIRI: Persekutuan Bermotosikal Antarabangsa (FIM) bakal menganjurkan Kejohanan FIM Asian Supermoto Siri Borneo 4 Pusingan pada tahun depan berikutan kualiti litar Go- Kart Miri.

Presidennya Wan Zaharuddin Wan Ahmad berkata litar terbabit mematuhi standard dan piawaian antarabangsa dan ia turut dilabel antara litar terbaik di Malaysia.

“Kita menjangka akan menganjurkan kejohanan FIM Asian Supermoto Siri Borneo tahun depan dan ia akan menarik lebih ramai pelumba dari dalam dan luar negara,” katanya pada sidang media selepas penutupan Kejohanan Supermoto Malaysia 2015 petang kelmarin.

Wan Zaharuddin berkata tidak banyak litar di Malaysia yang mematuhi piawaian dan standard antarabangsa dan Sarawak harus berbangga memiliki litar yang boleh digunakan untuk penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa.

“Saya melihat Litar Go- Kart Miri ini ada menyediakan kemudahan lampu malam dan kita kemungkinan akan memanfaatkan kemudahan ini untuk mengadakan perlumbaan pada sebelah malam,” katanya.

Menurutnya, kejayaan Sarawak khasnya Miri menganjurkan Kejohanan Supermoto Malaysia 2015 akan menjadi titik permulaan kepada FIM untuk membawa lebih banyak kejohanan perlumbaan sukan bermotor ke Sarawak.

Sementara itu, Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin berkata beliau bangga kerana Miri dipilih menjadi tuan rumah kejohanan kali ini.

“Kita berterima kasih kepada FIM dan pihak yang berkaitan kerana memilih Miri sebagai tuan rumah dan ia adalah salah satu acara yang boleh pergi jauh jika dipromosikan dengan lebih lagi,” ujarnya.

Miri katanya, berpotensi untuk menjadi hab perlumbaan sukan bermotor dua roda untuk Borneo kerana mempunyai kemudahan yang lengkap sekali gus memberi ruang kepada pelumba tempatan bersaing.

Sementara itu, seramai 41 pelumba dari sembilan buah negara dijangka berentap pada kejohanan siri keempat itu.

Pelumba Thailand, Trakarn Thanth muncul juara keseluruhan kejohanan itu sementara pelumba tempatan Mohd Al Amrul dan Mohd Habbullah masing-masing di tempat kedua dan ketiga.