Kabaddi perlu dana: Ganisan

0
UNTUK ALBUM: Para peserta merakamkan kenangan bersama selepas Pertandingan Kabaddi Merdeka di SMK Kuching High baru-baru ini.

UNTUK ALBUM: Para peserta merakamkan kenangan bersama selepas Pertandingan Kabaddi Merdeka di SMK Kuching High baru-baru ini.

Sarawak mampu menjadi kuasa, namun pembangunan terjejas akibat isu kewangan

KUCHING: Ketua Jurulatih Kabaddi Sarawak, Ganisan Punisamy melahirkan rasa bimbang dengan program perkembangan sukan kabaddi di sini.

Ujarnya, dana tidak mencukupi merencatkan program perkembangan sukan yang baharu bertapak di Sarawak itu.

Menurut Ganisan, Persatuan Kabaddi Sarawak (SKA) memerlukan kos yang besar setiap kali ingin menyertai pertandingan di luar serta menganjur kejohanan di sini.

Sehubungan itu, beliau bagi pihak SKA menyeru mereka yang berminat dalam sukan itu untuk tampil menyumbang dana kepada persatuan tersebut.

Tegasnya, skuad kabaddi negeri wajar dibantu kerana banyak mencapai kejayaan di luar dugaan pada kejohanan kebangsaan.

“Kita telah membuktikan skuad kabaddi Sarawak mampu menjadi kuas a dalam sukan ini di Malaysia selepas memenangi pelbagai kejohanan yang disertai sebelum ini walaupun ramai di kalangan pemain kurang pengalaman,” ujar beliau.

“Namun, kerana kekurangan dana kita tidak dapat hendak menyertai pertandingan secara kerap termasuk untuk menganjur kejohanan di sini bagi memberi pendedahan kepada pemain.”

Menurutnya, kali terakhir Sarawak menganjur pertandingan ialah pada Pe r t andingan Kabaddi Merdeka yang diadakan di SMK Kuching High pada 5 dan 6 September lepas dan disertai sejumlah lapan pasukan.

Tegas beliau, walaupun ia berjaya dianjur dengan baik, penganjur terpaksa mengeluarkan belanja yang amat besar.

“Adalah amat mengecewakan jika pembangunan sukan ini terencat disebabkan oleh masalah kewangan,” katanya lagi.

Beliau turut mencadangkan kepada SKA agar tidak terlalu mengharapkan bantuan dan dana daripada kerajaan negeri.

Sebaliknya, persatuan itu kena bersikap lebih proaktif dengan mencari dana dengan jalan sendiri jika berhasrat untuk membawa sukan itu pergi dengan lebih jauh lagi.

Skuad wanita Sarawak muncul naib johan pada Pertandingan Kabaddi Merdeka di belakang Selangor.